Malindo Air mengaku didakwa kerana kebocoran data penumpang

Malindo Air mengaku didakwa kerana kebocoran data penumpang

Sebelum ini dilaporkan, Malindo Air didakwa di mahkamah awal bulan ini berkaitan kebocoran data membabitkan butiran peribadi penumpangnya.

Syarikat penerbangan Malindo Air berkata, tuduhan terhadapnya tidak mempunyai merit.
PETALING JAYA:
Malindo Air mengesahkan tindakan mahkamah yang diambil terhadap syarikat itu di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 atau APDP.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu mengaku tidak bersalah dan mencabar pihak berkuasa mengenai dakwaan yang dikenakan.

“Secara kebetulan juga, mahkamah menegur pendakwaan untuk salah satu tuduhan yang samar-samar dirangka yang kemudiannya dipinda secara lisan oleh pihak pendakwa,” katanya.

Sebelum itu FMT melaporkan, Malindo Air didakwa di mahkamah awal bulan ini berkaitan kebocoran data membabitkan butiran peribadi penumpangnya.

Sumber yang rapat dengan perkara itu memberitahu, syarikat penerbangan itu didakwa di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 9 Mac ini.

Dalam pada itu, Malindo Air mengesahkan syarikat penerbangan itu selalu bertindak dengan profesional dalam menangani kejadian itu.

Katanya, Malindo Air memperluaskan kerjasama mereka kepada semua agensi penyiasat di Malaysia serta 22 pihak berkuasa perlindungan data peribadi antarabangsa.

“Sebagai syarikat penerbangan yang bertanggungjawab, Malindo Air juga menyediakan kemas kini yang berterusan kepada semua penumpangnya serta pihak berkuasa yang berkenaan.

“Semua langkah praktikal dan munasabah telah diambil dan dilaksanakan untuk memastikan perlindungan data peribadi pelanggan kami. Tiada butiran pembayaran /kad dibocorkan,” katanya.

Malindo Air percaya dakwaan terhadapnya tidak mempunyai merit dan syarikat penerbangan itu berhasrat mempertahankan kedudukannya.

September tahun lalu, media melaporkan butiran kira-kira 30 juta penumpang Malindo Air dan anak syarikat Lion Group, Thai Lion Air disebarkan dalam forum atas talian.

Menurut syarikat keselamatan siber berpangkalan di Moscow, maklumat dibocorkan itu, termasuk butiran pasport, alamat rumah dan nombor telefon penumpang.

Fail itu dimuat naik dan disimpan pembekal awan, Amazon Web Services yang merupakan penyedia perkhidmatan data luaran Malindo.

Kaspersky dilaporkan berkata, sebahagian daripada pangkalan data yang bocor itu dijual di Dark Web.

Malindo Air kemudiannya menyalahkan 2 bekas pekerja kontraktor e-dagangnya kerana mencuri data pelanggan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.