Penduduk Taman Desa gesa siasatan telus ke atas kondo runtuh

Penduduk Taman Desa gesa siasatan telus ke atas kondo runtuh

Protect Taman Desa mahu penemuan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara didedahkan dan kondominium itu dirobohkan jika strukturnya didapati tidak kukuh.

Ahli Protect Taman Desa berdiri di luar kondominium dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama yang runtuh pada Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR:
Sebuah gabungan NGO menggesa pihak berkuasa menyiasat dengan telus runtuhan kondominium dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama pada Jumaat lalu.

Protect Taman Desa mahu penemuan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) didedahkan dan menekankan bangunan itu sepatutnya dirobohkan jika strukturnya didapati tidak kukuh.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, struktur asas tidak kukuh atau tiang tidak menepati spesifikasi mungkin punca runtuhan itu.

Kumpulan itu yang terdiri daripada kira-kira 30 persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama di Taman Desa, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memberi amaran projek pembangunan itu ibarat “menunggu malapetaka berlaku”.

“Sekarang sudah terbukti dan ia sekadar kes terpencil,” kata ahli jawatankuasa kumpulan itu, Philip Phang dalam sidang media hari ini.

Maxim Holdings, pemaju kondominium setinggi 37 tingkat itu, sudah menyatakan sebahagian daripada lantai kolam renang dalam pembinaan di tingkat 6 runtuh dan arahan berhenti kerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, 2 pekerja Bangladesh terperangkap di bawah runtuhan.

Mereka dikeluarkan pada 5.15 petang dan 9.40 malam serta dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, seorang daripadanya sudah dibenarkan keluar hospital.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, lesen jualan pemaju bagi kondominium 37 tingkat itu digantung sehingga siasatan selesai.

Philip Phang (2 dari kiri) mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa membenarkan tapak kondiminium di Taman Desa yang diwartakan sebagai kawasan hijau, dibenarkan untuk pembinaan.

Phang berkata, tanah kondiminium itu dibina sudah diwartakan sebagai kawasan hijau di bawah Pelan Induk Kuala Lumpur 2020 dan mereka membantah pembinaan itu sejak diumumkan pada 2017.

“Menteri Wilayah Persekutuan dan DBKL sebagai badan berkanun bagi Kuala Lumpur, perlu menjelaskan kenapa tanah yang ditetapkan sebagai kawasan hijau, dibenarkan untuk dibangunkan.

“Adakah kajian semula dilakukan menteri Wilayah Persekutuan atau DBKL? Jika tidak, mengapa?”

Beliau berkata, 2 semakan kehakiman yang difailkan penduduk ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berpihak kepada DBKL, manakala rayuan di Mahkamah Rayuan juga gagal.

Katanya, sejurus selepas pilihan raya umum ke-14, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berjanji mengadakan sesi “town hall” berhubung perkara itu selepas pelantikan menteri Wilayah Persekutuan.

“Sudah hampir 2 tahun sejak itu dan sesi ‘town hall’ belum direalisasikan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.