
Ketika berucap dalam ceramah kempen PRN Sabah, pengerusi Pakatan Harapan itu menjawab desas-desus mengenai bekas setiausaha politik kanannya, Shamsul Iskandar Akin.
“Pembangkang bangkitkan hal bekas setiausaha politik saya. Beliau datang serah peletakan jawatan, dan saya terima. Beliau dah letak jawatan,” kata Anwar, merujuk tindakan Shamsul pada Selasa susulan terpalit dakwaan rasuah.
“Ada yang kata, ‘Dia pegawai PM, tak boleh disiasat’. Siapa kata tak boleh? Tiada siapa kebal undang-undang,” katanya.
“Adakah saya tahu butirannya? Tidak. Adakah saya restu? Kalau (dakwaan rasuah) itu benar, saya tak restu. Adakah saya mahu SPRM siasat secara profesional? Ya. Telus? Ya. Bebas? Ya.”
“Kalau ada kes, patutkah (Shamsul) didakwa? Itu keputusan mereka. Kalau rasa perlu dakwa, teruskan. Kalau mahkamah putuskan bebas, Alhamdulillah. Kalau mahkamah putuskan hukum … terimalah.”
Shamsul dijadualkan hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya esok bagi memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah berkait ahli perniagaan Albert Tei.
Memetik laporan Bernama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan kertas siasatan telah dibuka susulan pendedahan sebuah portal berita, di mana tiga saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan.
Tei yang menjadi tumpuan dalam dakwaan skandal perlombongan Sabah kini sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah.
Dalam satu video, beliau dilihat bercakap dengan seorang wanita yang didakwa mengaku bertindak sebagai orang tengah (wakil) kepada Shamsul.
Wanita itu mendakwa Anwar telah memberi kebenaran kepada Tei untuk merakam perbincangan dengan beberapa ahli politik di Sabah, termasuk menteri negeri dan Adun berkaitan lesen penerokaan mineral di negeri itu.
Wanita tersebut juga mendakwa Shamsul pernah bertemu Azam untuk memohon supaya kes Tei diselesaikan secara baik ‘tanpa berlarutan’.
Bagaimanapun, wanita itu kemudian menafikan beliau wakil kepada Shamsul dan menyifatkan semua dakwaan berkenaan sebagai ‘palsu dan berniat jahat’.