
Zambry berkata, beliau telah mengarahkan pihak UTM untuk melaksanakan langkah yang sewajarnya, serta memberi kerjasama terhadap siasatan kes kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM itu.
“Tidak ada sebarang usaha untuk melindungi sesiapa sekiranya didapati ada unsur-unsur yang tidak baik yang dilakukan kepada adik Haris ini,” katanya selepas menziarahi ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun di kediamannya di Semenyih hari ini, bersama Naib Canselor UTM Mohd Shafry Mohd Rahim.
Menurut Zambry, laporan jawatankuasa menyiasat kematian penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM itu dijangka siap dalam tempoh terdekat.
“Paling mustahak, laporan jawatankuasa siasatan itu hendaklah disegerakan … dan pada masa sama hal-hal yang telah dibangkitkan oleh ahli keluarga dapat diberikan perhatian,” katanya, lapor Bernama.
Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, namun sebab kematiannya belum jelas.
Anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan Palapes sejak 26 Julai lepas, yang sepatutnya berakhir 3 Ogos.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, kementerian itu menubuhkan jawatankuasa yang turut disertai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.
Sementara itu, keluarga mangsa menggesa agar kematian Syamsul Haris disiasat secara telus dan adil, menuntut bedah siasat kedua dilaksanakan segera.
Ummu Haiman Bee mendakwa, terdapat kesan lebam dan kecederaan seperti disebabkan perbuatan secara fizikal pada tubuh anaknya, bukan kecederaan akibat serangan sawan.
“Saya mohon satu siasatan yang telus dijalankan, saya nak tahu apa sebenarnya punca kematian anak saya dan siasatan yang telus,” katanya.
“(Pada tubuhnya) ada luka di dada seperti dicucuk ataupun dipukul dengan objek… mata juga ada kesan lebam. Saya yakin ada unsur jenayah dan anak saya ini dipukul, dibelasah, didera sehingga meninggal,” katanya.
Beliau juga meminta agar peguam mewakili keluarga, Narin Singh, dibenarkan menganggotai jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kementerian sebelum ini.