Tiada cadangan pinda akta, kata menteri selepas keputusan ‘bin Abdullah’

Tiada cadangan pinda akta, kata menteri selepas keputusan ‘bin Abdullah’

Mujahid Yusof Rawa berkata, isu 'bin Abdullah' boleh dibincangkan di Parlimen jika perlu, tetapi dengan syarat ia perlu dibahaskan secara demokrasi dan bertamadun.

Mujahid Yusof Rawa (2 dari kiri) dan Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland (tengah) mengadakan sidang media bersama dekat Kuala Lumpur hari ini sempena lawatan rasmi wakil itu ke Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan tidak bercadang meminda undang-undang susulan keputusan mahkamah kelmarin yang mengisytiharkan seorang kanak-kanak lelaki Islam tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa kandung.

“Belum ada sesuatu yang ‘solid’ dalam hal ini,” katanya merujuk Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) pada sidang media bersama Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland hari ini sempena lawatan rasmi wakil itu ke Malaysia.

Seksyen 13A BDRA menyatakan pendaftar boleh mencatatkan nama keluarga sekira ada, jika ibunya secara sukarela memberi maklumat itu, menjadikan nama ibunya sebagai nama keluarga, “dengan syarat jika orang yang mengaku dirinya bapa kanak-kanak itu mengikut peruntukan Seksyen 13 meminta sedemikian”.

Mujahid berkata, isu itu boleh dibincangkan di Parlimen jika perlu, tetapi dengan syarat ia perlu dibahaskan secara demokrasi dan bertamadun.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua mufti bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung isu “bin Abdullah”.

Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memerintahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan “bin Abdullah” daripada sijil lahir seorang kanak-kanak lelaki Islam di Johor yang tidak sah taraf.

Mahkamah turut memerintahkan kanak-kanak itu tidak boleh menggunakan nama bapa kandungnya.

Hakim memutuskan Seksyen 13A BDRA tidak terpakai ke atas pendaftaran kelahiran anak Melayu-Islam.

Hari ini, Mujahid menggesa semua pihak menghormati keputusan mahkamah itu dan mengelakkan ia menjadi isu perkauman.

“Perdebatan di luar memang akan ada. Kami kerajaan menghormati keputusan yang dibuat mahkamah. Itu satu keputusan bukan dibuat secara individu kerana pihak mahkamah juga dipandukan dengan fatwa-fatwa sedia ada.

“Saya minta jangan benda ini dijadikan lagi peluang untuk menimbulkan kebencian atau isu-isu perkauman dan agama yang sempit.”

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata, tidak salah fatwa lama melarang kanak-kanak Islam tidak sah taraf menggunakan nama bapa kandung disemak dan diubah, jika perlu.

Walaupun keputusan mahkamah selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 1981, tetapi katanya, terdapat beberapa ulama besar silam yang mengharuskan kanak-kanak luar nikah dihubungkan nasab dengan bapa kandung.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Noor Aziah Mohd Awal pula menyeru kerajaan meminda akta bagi memastikan semua kanak-kanak boleh menikmati hak sama tanpa mengira agama mereka.

Katanya, keputusan mahkamah pada Khamis lalu akan menyebabkan anak seperti itu dicap dan didiskriminasi.

“Ini tidak menjaga kepentingan kanak-kanak itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.