Tiada kompromi, timbalan KPN beri amaran individu sebar berita palsu Covid-19

Tiada kompromi, timbalan KPN beri amaran individu sebar berita palsu Covid-19

Mazlan Mansor berkata pihak berkuasa sudah memberi amaran yang cukup terhadap mereka yang menyebarkan dakwaan yang tidak sahih termasuk di media sosial.

Timbalan KPN Mazlan Mansor (tengah) ketika menyaksikan Ketua Polis Sabah, Omar Mammah menyerahkan tugasnya kepada timbalannya Zaini Jass, hari ini.
KOTA KINABALU:
Mereka yang didapati menyebarkan berita palsu mengenai wabak Covid-19 tidak lagi hanya diberi amaran tetapi akan berdepan tindakan undang-undang, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

Mazlan berkata pihak berkuasa sudah memberi amaran yang cukup terhadap mereka yang menyebarkan dakwaan yang tidak sahih termasuk di media sosial.

“Tidak perlu nasihat atau amaran … kita semua tahu kesan penyebaran berita palsu.

“Kita mengambil serius perkara ini. Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa pun yang didapati menyebarkan berita palsu.

“Satu-satunya perkara sekarang adalah mengambil tindakan terhadap pesalah dan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya selepas menyaksikan Ketua Polis Sabah, Omar Mammah menyerahkan tugasnya kepada timbalannya Zaini Jass, hari ini.

Mazlan berkata tidak ada kes terbaru berhubung berita palsu membabitkan Covid-19 selain 13 kes yang dilaporkan setakat ini.

Beliau menambah 3 daripada kes itu, termasuk 1 di Sabah, telah didakwa di mahkamah.

“Kami masih menunggu prosiding undang-undang untuk kes yang selebihnya,” katanya.

Mazlan percaya disebabkan tindakan yang diambil, orang ramai kini menyedari akibat penyebaran berita palsu.

“Setakat ini, ia berkesan kerana tidak banyak berita palsu sejak kebelakangan ini.

“Saya percaya jika trend ini berterusan, maka kita boleh menghormati undang-undang dan tidak mengganggu keamanan awam dengan berita palsu,” kata Mazlan.

Semalam, Bernama melaporkan seorang pesara Jabatan Keretapi Negeri Sabah didenda RM5,000, atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda itu, oleh Mahkamah Majistret di Sandakan kerana menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19.

Aliuudin Amit, 67, didakwa menyebarkan satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan seorang banduan di penjara Sandakan meninggal dunia akibat virus itu.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Jan. Aliuudin membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.