Mahkamah perintah JPN keluarkan ‘bin Abdullah’ dari sijil lahir anak tak sah taraf

Mahkamah perintah JPN keluarkan ‘bin Abdullah’ dari sijil lahir anak tak sah taraf

Majoriti hakim juga berpandangan kanak-kanak lelaki itu tidak boleh menggunakan nama bapa kandung.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara mengarahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan perkataan “bin Abdullah” daripada sijil lahir seorang kanak-kanak Islam dari Johor yang tidak sah taraf kerana dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 saat daripada tarikh akad nikah.

Bagaimanapun 4 daripada 7 hakim bersidang iaitu Rohana Yusof, Azahar Mohamad Zawawi Salleh, dan Idrus Harun berpandangan kanak-kanak lelaki itu tidak boleh menggunakan nama bapa kandung.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, David Wong Dak Wah, dan Nallini Pathmanathan pula berpandangan kanak-kanak itu boleh menggunakan nama bapa kandung.

Para hakim juga berbeza pandangan mengenai 3 persoalan undang-undang yang dikemukakan kepada mereka.

Rohana berkata Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian tidak terpakai ke atas pendaftaran kelahiran anak Melayu-Islam.

“Ia tidak membolehkan kanak-kanak itu dinamakan dengan nama peribadi orang yang mengakui bapa kepada anak itu kerana ia bukan nama keluarga (surname) seperti yang dibayangkan oleh Seksyen 13A,” katanya.

Rohana, yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata, ketua pengarah boleh menggunakan Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Johor) untuk menolak permohonan meminda sijil kelahiran kanak-kanak itu bagi menggantikan “bin Abdullah” dengan “bin MEMK”.

“Pada pandangan kami, beliau tidak bertindak secara tidak munasabah dengan mengambil kira undang-undang peribadi para responden untuk menolak permohonan memasukkan ‘bin MEMK” pada nama anak itu,” katanya.

Rohana berkata apabila mendaftarkan kelahiran anak-anak Islam, ketua pengarah boleh merujuk kepada sumber-sumber undang-undang Islam tentang kesahannya.

Wong berkata kanak-kanak itu boleh menggunakan nama bapanya kerana Seksyen 13A mengenai penggunaan nama keluarga terpakai pada orang Islam dan bukan Islam.

“Ketua pengarah JPN ada fungsi administratif dan tiada kaitan dengan undang-undang atau perundangan Islam,” katanya.

Wong semasa membuat keputusannya mengambil kira kebajikan kanak-kanak itu yang tidak patut didiskriminasikan.

“Tiada sebab tidak sah taraf anak itu ‘disiarkan’ (dalam sijil kelahiran),” katanya.

Nallini berkata agensi persekutuan tidak boleh menggunakan undang-undang Islam sama sekali kerana Malaysia negara plural dan akta berkenaan undang-undang sekular.

“Struktur Perlembagaan Persekutuan jelas membataskan undang-undang negeri dan persekutuan,” katanya, dan menambah enakmen Johor berkenaan orang Islam tidak boleh diimport ke Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Dalam kes ini, kelahiran kanak-kanak itu didaftarkan 2 tahun kemudian pada 2011 mengikut Seksyen 12 akta itu.

Ibu dan bapa anak itu memohon JPN mendaftarkan nama bapa pada sijil kelahiran itu mengikut Seksyen 13 akta itu tetapi sebaliknya tertera “bin Abdullah”.

JPN enggan menukarnya dengan nama bapa, walaupun permohonan dibuat memohon “bin Abdullah” dikeluarkan, atas sebab anak itu tidak sah taraf.

Ini menyebabkan ibu bapa anak itu, yang identiti mereka dirahsikan, memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 2016.

Mereka kalah kes di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Rayuan pada 2017 terbalikkan keputusan itu.

Hakim Abdul Rahman Sebli berkata bidang kuasa ketua pengarah JPN bersifat sivil dan terbatas kepada menentukan adakah ibu bapa anak itu mememuhi keperluan-keperluan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.