
Beliau berkata, tiada keperluan untuk beliau menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kekosongan kerusi berkenaan berikutan keputusan itu, berdasarkan Perkara 21 (5) Perlembagaan Sarawak.
Perkara 21 (5) Perlembagaan Sarawak menyatakan jika kekosongan wujud dalam 2 tahun dari tarikh DUN hendak dibubarkan, kekosongan jawatan itu tidak akan diisi, melainkan jika speaker memberitahu SPR secara bertulis jumlah kekuatan parti yang menjadi majoriti Adun terjejas akibat kekosongan itu.
“Keperluan untuk speaker menulis kepada SPR tidak timbul dan tanpa pemberitahuan itu, tidak (akan) ada pilihan raya kecil,” katanya pada sidang akhbar di bangunan DUN semalam.
Panel 9 hakim Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan DUN Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Ting sebagai Adun Pujut berhubung statusnya memiliki 2 kewarganegaraan.
Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2 dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan DUN mempunyai kata putus dalam perkara itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Asfia berkata, isu yang dihujah dalam kes itu bukan soal politik, tetapi persoalan patriotisme yang mencerminkan pendirian sesiapa yang memperoleh kewarganegaraan negara lain dan menjadi rakyat negara itu tidak boleh dibenarkan untuk mewakili pemilih dalam Malaysia dan duduk di dalam dewan yang menggubal undang-undang.
Sementara itu, DAP berikrar untuk terus berkhidmat di DUN Pujut, Miri sehingga tamat penggal pentadbiran, walaupun Ting dilucutkan daripada kedudukannya.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, walaupun parti itu kecewa dengan keputusan mahkamah tertinggi negara, ia tidak akan menghalang mereka daripada terus memberikan perkhidmatan, terutama kepada penduduk di Pujut.
“Sejak terpilih, Ting membuktikan beliau adalah wakil rakyat yang rajin dan berdedikasi. Oleh itu, walaupun dengan pelucutan jawatannya, pusat perkhidmatan beliau akan terus beroperasi sebagai pusat perkhidmatan DAP dan beliau akan terus berkhidmat sehingga tamat penggal,” katanya dalam kenyataan semalam.