Rayuan Lokman Adam ketepi prosiding hina mahkamah didengar 5 Mac

Rayuan Lokman Adam ketepi prosiding hina mahkamah didengar 5 Mac

Timbalan pendaftar mahkamah menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes petang ini.

Peguam Negara Tommy Thomas dan Lokman Nor Adam.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mac untuk mendengar rayuan Lokman Nor Adam mengetepikan perintah yang membenarkan Peguam Negara Tommy Thomas memulakan prosiding komital terhadap bekas ahli majlis tertinggi Umno itu kerana menghina mahkamah.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Laila Lateh menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes petang tadi.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar mewakili Thomas manakala peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Lokman.

Terdahulu, Hakim Yaacob Md Sam, yang mempengerusikan panel 3 hakim menghantar perkara itu ke pengurusan kes.

Panel hakim dijangka mendengar permohonan penggantungan oleh Lokman untuk menghalang Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar hujah penuh mengapa Lokman harus dihukum kerana tidak menghormati mahkamah.

Sequerah menetapkan pembicaraan pada 13 Mac.

Peguam Lokman, Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan agar mahkamah menetapkan tarikh pembicaraan awal bagi rayuan itu dan tidak mendengar permohonan penggantungan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar bersetuju dengan cadangan Shafee.

Difahamkan kedua-dua pihak mahu rayuan dibicarakan kerana Sequerah sudah memberikan penghakiman bertulis.

Pada 14 Jan, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas untuk memulakan prosiding kerana menghina mahkamah berhubung perbicaraan rasuah 1MDB melibatkan Najib Razak.

Pada 22 Okt, Sequerah membenarkan Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana didakwa mengancam saksi Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.

Pihak pendakwaan mengemukakan komen Lokman mengenai Amhari yang dikatakan sama seperti mengancam saksi atau saksi-saksi berpotensi lain, dan juga perbuatan melemahkan pentadbiran keadilan.

Lokman membuat laporan polis mencabar kredibiliti Amhari sebagai saksi susulan pengakuannya di kandang saksi bahawa dia menerima pinjaman AS$200,000 daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Pihak pendakwaan berkata Lokman juga membuat temubual video di mana beliau didakwa menyerang integriti peguam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.