
Pengurus Affin Bank cawangan Jalan Bunus, S Rajen Taran, 40, berkata cek tersebut untuk pembayaran kredit kad AmIslamic Bank dan Maybank, masing-masing berjumlah RM1,300,630.82 dan RM61,406.99 serta insurans dan cukai jalan kenderaan milik Zahid sebanyak RM107,509.55.
“Cek itu juga digunakan untuk perbelanjaan pengurusan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia pada November 2015 sebanyak RM1.3 juta, TS Consultancy & Resources bagi kerja-kerja pendaftaran pengundi berjumlah RM360,000.
“Zahid juga mengeluarkan cek RM10 juta untuk meminjamkan dana itu kepada syarikat pengimport dan pembekal arang batu iaitu Armada Holdings Sdn Bhd serta ‘Bankers Cheque’ berjumlah RM17,953,185.21 kepada pemegang amanah Yayasan Akal Budi, Messrs Lewis & Co,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.
Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata demikian pada hari ke-13 perbicaraan kes Zahid, bekas timbalan perdana menteri yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akal Budi berjumlah jutaan ringgit.
Sebelum ini, ejen insurans syarikat Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abd Rashid, 40, yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 memberitahu mahkamah bahawa Zahid membayar RM107,509.55 untuk membayar cukai jalan dan insurans bagi 20 kenderaan miliknya.
Pada 11 Dis tahun lepas, saksi pendakwaan ke-21, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr, 50, pula memberitahu mahkamah bahawa pihaknya menerima dana berjumlah RM10 juta daripada Zahid.
Zahid, 67, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah, 8 bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.