Dr M perlu henti bermain kuasa, gesa bekas pembantu Anwar

Dr M perlu henti bermain kuasa, gesa bekas pembantu Anwar

Ezam Mohd Nor menggesa Dr Mahathir Mohamad mendahulukan kepentingan negara kerana pelabur mahu melihat perancangan jelas untuk peralihan kuasa perdana menteri.

Ezam Mohd Nor berucap dalam himpunan anjuran Otai Reformis di Petaling Jaya malam tadi.
PETALING JAYA:
Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor menggesa Dr Mahathir Mohamad “berhenti bermain kuasa” dan menetapkan hala tuju jelas untuk peralihan kuasa kepada presiden PKR.

Beliau turut menggesa Mahathir mendahulukan kepentingan negara kerana pelabur juga mahu melihat perancangan jelas untuk peralihan kuasa.

Bekas ketua Pemuda PKR itu yang pernah dilantik sebagai senator oleh Barisan Nasional, berkata Mahathir perlu “menghentikan cara lama, menjadi seorang negarawan dan meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu”.

“Beliau tahu apa yang dilakukannya, kita juga tahu apa yang beliau buat. Beliau perlu berhenti bermain dengan kuasa. Ini ialah peralihan kuasa perdana menteri. Ini bukan hanya peralihan kuasa untuk mana-mana jawatan.

“Itu sebabnya perlu ada perancangan. Ia perlu berjalan lancar. Kata kunci ialah lancar dan kita tidak melihat kelancaran dan ini menjejaskan ekonomi. Jadi, Mahathir tolonglah buat perkara betul,” katanya dalam satu himpunan anjuran kumpulan pro-Anwar, Otai Reformis malam tadi.

Ezam kemudiannya memberitahu FMT, ada petanda jelas Mahathir kembali kepada “cara diktatornya” dan rasa tidak puas hati rakyat disuarakan melalui kekalahan teruk Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Bagaimanapun, katanya, mesej itu tidak diendahkan.

Ezam antara penyokong setia Anwar yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PKR, tetapi beliau kembali ke pangkuan Umno pada 2008 kerana tidak sebulu dengan Anwar dan kepimpinan PKR.

Beliau ialah ahli PPBM sebelum meninggalkan parti itu kira-kira 3 bulan kemudian.

Ditanya kenapa Otai Reformis mengabaikan hasrat Anwar tidak membangkitkan isu peralihan kuasa, Ezam berkata, Anwar mungkin mempunyai alasan tersendiri membuat kenyataan itu kerana beliau sebahagian daripada parti pemerintah.

Bagaimanapun, katanya, rakyat juga mempunyai alasan mereka membangkitkan isu itu dan “Anwar perlu menghormati dan memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.