Umno lantik bekas duta Zulhasnan ketuai Lembaga Disiplin

Umno lantik bekas duta Zulhasnan ketuai Lembaga Disiplin

Zulhasnan Rafique menggantikan Mohamed Apandi Ali yang meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Disiplin Umno pada 25 Jan lalu.

Zulhasnan Rafique pernah menjadi duta Malaysia ke Amerika Syarikat, menteri Wilayah Persekutuan dan ahli Parlimen Setiawangsa serta Wangsa Maju. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Umno hari ini melantik bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Zulhasnan Rafique untuk mengetuai Lembaga Disiplin, susulan peletakan jawatan Mohamed Apandi Ali akhir bulan lalu.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mengumumkan pelantikan itu selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 4 jam di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Apandi yang merupakan bekas peguam negara meletak jawatan secara rasmi pada 25 Jan lalu, susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan lembaga itu dengan bekas naib presidennya, Hishammuddin Hussein pada Disember lalu untuk siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku ke atasnya.

Hishammuddin dipanggil Lembaga Disiplin Umno berhubung dakwaan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno selepas Ahli Majlis Tertinggi, Lokman Noor Adam membuat laporan berhubung pertemuan sulitnya dengan sekumpulan ahli Parlimen Umno dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada 18 Nov tahun lalu.

Lokman turut mendakwa Hishammuddin terbabit dalam menghasut pemimpin dan ahli Parlimen Umno menyertai PPBM pada Oktober tahun lalu.

Hishammuddin menafikan beliau merancang pertemuan itu dan sedia disiasat parti.

Sementara itu, Annuar berkata, persidangan tahunan cawangan akan bermula 15 Feb hingga 19 April ini, manakala bahagian pada 1 Jun hingga 20 Julai nanti.

“Konvensyen Umno negeri pada 1 Ogos hingga 15 Sept. Perhimpunan Agung Umno 2020 pada 26 hingga 31 Okt.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.