
Presidennya, Soh Thian Lai berkata, ia membawa impak negatif kepada aliran tunai perniagaan.
“Kami faham kelewatan itu disebabkan Jabatan Kastam perlu menjalankan audit lapangan sebelum meluluskan pembayaran balik itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau bagaimanapun menggesa kerajaan mempercepatkan pembayaran balik GST itu dengan menjalankan audit lapangan berdasarkan profil risiko syarikat dan rekod prestasi mereka.
Setakat bulan ini, Jabatan Kastam sudah membayar tuntutan GST sebanyak RM4 bilion kepada 54,603 pembayar cukai.
Pada 2018, kerajaan mengumumkan 121,429 pendaftar GST dan 1,653,786 syarikat, individu, persatuan serta yayasan belum menerima pembayaran balik cukai itu setakat Mei 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 berkata, kerajaan akan menggunakan dividen khas RM30 bilion yang diterima daripada Petronas untuk membuat pembayaran balik GST berjumlah RM37 bilion.
Katanya, pembayaran balik itu akan dibuat secara berperingkat.