
Katanya, langkah menamatkan PDP itu – Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) – membawa penjimatan sehingga 40% atau RM3.1 bilion dan kos asal RM21.9 bilion berjaya dikurangkan kepada RM18.8 bilion.
Beliau berkata, rundingan untuk pampasan dengan PDP terdahulu sedang dijalankan.
“Di peringkat ini, kami belum capai kata putus penyelesaian lagi. Pasti akan ada tuntutan, malah kemungkinan hilang keuntungan, tetapi kami akan meneliti di bawah perjanjian itu sendiri.
“Apapun tuntutan yang sah, kami akan melihatnya. Apa-apa yang di luar perjanjian, kami akan menelitinya tentang bagaimana kami dapat mengendalikannya,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembiayaan sebuah projek baru antara kerajaan persekutuan dan DanaInfra Nasional Berhad.
Keputusan menamatkan PDP itu dibuat mesyuarat Kabinet pada 4 Sept tahun lalu.
Pelaksanaan baki projek itu akan dilaksanakan secara konvensional oleh kerajaan persekutuan yang akan diselaraskan Jabatan Kerja Raya.
Kerajaan memutuskan pelaksanaan 11 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786.4km diteruskan tanpa penglibatan PDP.
Di bawah perjanjian pembiayaan projek terdahulu, kerajaan perlu membayar komisen 5.5% kepada PDP.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penjimatan daripada penamatan PDP itu akan disalurkan kepada Sarawak selepas menolak sebarang kemungkinan kos tambahan, untuk membiayai projek infrastruktur dan pembangunan di negeri itu.
Mengenai kemungkinan kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi untuk mengimbangi kelembapan ekonomi global, Lim berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas dibentangkan kepada Kabinet.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tarikh pembentangan atau pengumuman itu.
“Tiada risiko kemelesetan untuk Malaysia. Kami mahu memastikan pertumbuhan ekonomi mampan.”
Lim sebelum ini berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi jika ekonomi dunia bertambah buruk tahun ini.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan Kabinet sebelum dan selepas pembentangan Belanjawan 2020.