
Menerusi catatan Facebook, Tiong secara terbuka menyuarakan sokongan kepada Ruji Ubi dengan berkata, beliau di kedudukan baik membantu menjadikan Merotai “destinasi pelancongan menarik”.
Menteri pelancongan, seni dan budaya itu berkata, Ruji mempunyai pengalaman pentadbiran luas dan pemahaman kukuh tentang proses kerajaan, menjadikannya penyokong berkesan untuk komuniti.
“Dengan mandat jelas, beliau boleh memperkemas dokumentasi, urusan dan permohonan tanah serta mendapatkan sumber diperlukan bagi memajukan pembangunan budaya dan komuniti.”
Beliau turut memuat naik gambar dirinya berkempen.
Rabu lalu, Timbalan Presiden PDP, Henry Harry Jinep dilaporkan berkata, GPS tidak terbabit dalam PRN Sabah dan mana-mana ahli yang didapati berkempen di sana akan menghadapi tindakan disiplin.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada video menunjukkan seorang ahli PDP di Marudi didakwa membantu kempen di Sabah.
Katanya, ahli itu bertindak atas kapasiti sendiri dan PDP tiada urusan di Sabah.
“GPS tidak terlibat dengan mana-mana gabungan di sana, kami tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya dipetik sebagai berkata.
Beliau juga berkata, arahan GPS menetapkan tiada seorang pun ahlinya yang boleh ke Sabah untuk berkempen.
Menurutnya, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg sudah membincangkan perkara membabitkan ahli terbabit dengan Tiong.