Hentikan khatan perempuan, SIS gesa kerajaan

Hentikan khatan perempuan, SIS gesa kerajaan

NGO dan badan pemikir berkata ia boleh memberi kesan mudarat pada tubuh.

Sisters in Islam berkata mutilasi alat kelamin wanita dilarang di beberapa negara. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Sisters in Islam (SIS) kecewa dengan sokongan berterusan Putrajaya terhadap khatan perempuan meskipun amalan itu tidak dinyatakan dalam Al-Quran.

Dalam temubual emel dengan FMT sempena International Day of Zero Tolerance to Female Genital Mutilation (FGM), NGO itu merujuk kepada reiteration kerajaan bahawa mutilasi alat kelamin wanita (FGM), termasuk khatan perempuan, sebahagian budaya Malaysia.

Perkara itu, katanya, dinyatakan dalam laporan semakan hak asasi manusia anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Penilaian Berkala Sejagat bagi Malaysia pada 2018.

FGM merupakan prosedur memotong atau menyingkir sebahagian atau semua organ pembiakan luaran perempuan. SIS berkata 2 daripada 4 jenis FGM yang dikelaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diamalkan di Malaysia.

Jenis 1, katanya, melibatkan penyingkiran sebahagian atau sepenuhnya kelentit atau kulupnya, manakala Jenis 4 melibatkan prosedur berbahaya terhadap organ pembiakan perempuan yang bukan bagi tujuan perubatan.

Ini termasuk cucuk, tembus, gores, kikis, dan lecuh.

“FGM dibuat kerana kepercayaan agama dan kewajipan budaya. Islam tidak perkenalkan khatan perempuan sebagai amalan untuk orang Islam, dan khatan perempuan boleh dikesan daripada tradisi sebelum Islam,” katanya.

Katanya, Dar al-Ifta al Misriyyah, antara badan agama yang utama di Mesir, bersama Al-Azhar Al-Sharif, Universiti Al-Azhar, dan Kementerian Wakaf Mesir, mengisytiharkan semua bentuk FGM sebagai dilarang agama pada Mei 2018.

“Itu seterusnya berkata melarang FGM harus menjadi kewajipan agama semua negara Islam kerana kesannya yang memudaratkan pada tubuh,” katanya.

SIS berkata banyak negara majoriti Islam tidak mengamalkan FGM, termasuk Arab Saudi dan Maghribi.

Penghalang kepada pembasmian FGM di sini, katanya, adalah ramai orang Islam percaya khatan perempuan itu “wajib” dan sebahagian daripada budaya.

“Apa yang lebih membimbangkan fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 2009 menyatakan khatan wanita mandatori.

“Walaupun fatwa itu tidak diwartakan, hakikatnya secara umum, fatwa ada pengaruh besar ke atas individu dan komuniti dalam membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata dari perspektif kesihatan, tiada data saintifik atau bukti perubatan yang mewajarkan keperluan atau manfaat FGM.

Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Mohd Khalib berkata FGM bukan seperti khatan lelaki yang ada “manfaat yang jelas dan terbukti”, termasuk kebersihan diri yang lebih baik dan mencegah penyakit kelamin.

“Jika tiada manfaat perubatan, bukan kewajipan agama, atau tiada sebarang manfaat pun dalam menjalankan khatan perempuan, kenapa lakukannya?”

Beliau berkata ada pekeliling Kementerian Kesihatan yang melarang khatan perempuan di semua fasiliti awam.

“Kementerian harus meluaskan larangan itu kepada semua fasiliti kesihatan, swasta dan awam.

“Kita harus melarang dan menjadikan khatan wanita jenayah bagi melindungi bayi dan kanak-kanak daripada mudarat,” kata Azrul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.