Pemandu teksi mohon keluarkan LTTE dari warta senarai pengganas

Pemandu teksi mohon keluarkan LTTE dari warta senarai pengganas

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan semakan kehakiman esok.

Antara mereka yang dituduh menyokong LTTE di mahkamah sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemandu teksi, salah seorang daripada 12 yang didakwa menyokong dan memiliki bahan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), memohon untuk memaksa menteri dalam negeri mengeluarkan kumpulan itu daripada warta senarai pertubuhan pengganas.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz, yang tampil bagi pihak B Balamurugan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Mariana Yahaya akan mendengar permohonan semakan kehakiman esok.

“Kami sedang meminta kebenaran mahkamah untuk keluarkan warta yang diluluskan menteri pada 2014,” katanya kepada FMT.

Omar berkata permohonan itu dibuat pada awal bulan lepas dan kertas mahkamah sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata pendakwaan terhadap 12 orang itu, termasuk 2 Adun, tidak lagi boleh dikekalkan jika permohonan Balamurugan dibenarkan.

Pada 29 Okt, Balamurugan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menyokong LTTE pada satu acara yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (Cawangan Sungai Siput Utara) pada 28 Dis 2014.

Dia juga berdepan 2 tuduhan memiliki barangan berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE, dalam telefon bimbit di stesen teksi Sungai Siput Utara pada 10 Okt tahun lepas.

Kesalaman sama didakwa dilakukan di Taman Bukit Medan di Sungai Siput Utara pada tarikh sama.

Jika didapati bersalah dia boleh berdepan hukuman penjara minimum 7 tahun dan maksimum seumur hidup atau 30 tahun penjara dan denda.

Kesnya kini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan sedang menunggu tarikh bicara ditetapkan.

Minggu lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh, yang menolak cubaan Adun Gadek, G Saminathan memohon dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan perbicaraannya, berkata mahkamah terikat dengan warta yang menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas melainkan ia ditarik balik oleh menteri dalam negeri.

Shahrir berkata satu-satunya cara untuk mengeluarkan LTTE daripada warta berkenaan ialah dengan menteri mengadakan semakan semula yang menjadi tugasnya dalam tempoh 6 bulan, dan tidak timbul masalah sekiranya LTTE diisytiharkan tidak wujud lagi bawah perundangan lain misalnya di Kesatuan Eropah atau di negara asal, Sri Lanka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.