
Dalam usaha kerajaan untuk terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital lebih selamat, pindaan itu akan menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari bagi pengguna.
“Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut tepat pada masanya,” kata Kementerian Komunikasi dalam kenyataan.
“Kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh terhadap usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian.”
Dalam pada itu, kementerian telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian membabitkan lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya, kempen itu turut akan diperluas dalam kalangan masyarakat bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
“(Kempen) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan internet,” katanya.
Fokus utama kempen itu termasuk pengawasan ibu bapa dan penjaga terhadap penggunaan internet kanak-kanak bawah usia 13 tahun, yang juga tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.
Selain itu, kempen menyasar meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia, selain menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika.
Pindaan Akta 588 diluluskan di Dewan Rakyat pada 9 Dis tahun lalu sebelum diwartakan pada 7 Feb lalu.
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, pindaan itu termasuk penambahbaikan skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelak salah guna.