
Awal hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, kuil Hindu berusia 130 tahun itu, yang kini terletak di sisip Jalan Masjid India, akan dipindahkan 50m dari lokasi asalnya, untuk memberi ruang kepada pembinaan masjid.
Katanya, jawatankuasa kuil telah bersetuju dengan penempatan semula ke tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sama seperti premis sedia ada.
“(Tanah itu akan) diwartakan untuk kegunaan kekal kuil. Itulah jaminan yang telah diberikan (kepada jawatankuasa kuil),” kata Saravanan kepada FMT.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, belum ada butiran lanjut berhubung perkara itu dimaklumkan.
“Kita akan dapat tahu nanti,” katanya.
FMT juga telah menghubungi Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Sharif untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pewartaan itu.
Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pada Khamis, beliau akan menghadiri majlis pecah tanah Masjid Madani, yang akan dibina di tapak tempat kuil itu kini terletak.
Pelan memindahkan kuil itu untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk NGO, ahli politik dan peguam.
Terdahulu, Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd Aiman Dazuki berkata, pihak syarikat memperoleh tanah itu pada 2012, dan pada 2021, mendapat kebenaran untuk mula membina sebuah masjid.
Bagaimanapun, katanya, pihak syarikat menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.
Aiman berkata, mustahil untuk masjid itu dibina tanpa memindahkan kuil kerana tanahnya tidak cukup luas. Syarikat itu juga bersetuju menanggung kos pemindahan kuil itu, tambahnya.