
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada pukul 1 tengah hari semalam, selepas doktor yang merawat isterinya membuat aduan wanita berkenaan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Colombia.
“Ketika kejadian, suspek sedang membersihkan sepucuk senapang yang mengandungi sebutir peluru, tiba-tiba tertembak isterinya yang merupakan seorang guru sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), berumur 30-an,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.
Katanya, menerusi serbuan Ops Limau Senjata Tiruan, polis menemukan 2 pucuk senapang jenis auto dan semi auto, dengan 2 kelopak peluru, sepucuk pistol tiruan jenis Glock Inc Smyra Ga buatan Australia dengan 1 kelopak peluru dan sepucuk pistol tiruan jenis Pietro Beretta Gardone V T buatan Itali, berserta 2 kelopak peluru.
Beliau berkata siasatan polis mendapati suspek yang bekerja di Terengganu itu, aktif membeli senjata tiruan tersebut secara dalam talian selain mempunyai minat dan hobi terhadap senjata berkenaan, sejak 2 tahun lalu.
“Difahamkan sebelum ini, suspek membeli selaras senapang dengan harga RM2,000 dan siasatan dijalankan mendapati suspek bercadang membeli sepucuk senapang M16 dengan harga RM18,000,” katanya sambil menambah suspek ditahan reman selama 4 hari bermula hari ini.
Osman berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 iaitu memiliki dan mengimport senjata tiruan serta Seksyen 37 akta yang sama, kerana menyebabkan kecederaan dengan sepucuk senjata tanpa alasan yang sah.
Tumpas geng curi kenderaan
Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menumpaskan 2 kumpulan dikenali Hafiz Axia dan Fikri 125Z yang bergiat aktif melakukan jenayah curi kenderaan di daerah ini, selepas menahan 5 lelaki serta seorang wanita menerusi Ops Lejang.
Beliau berkata dalam serbuan yang dilakukan di sebuah hotel, pada 6.30 petang, 20 Jan, polis menahan 3 lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 33 tahun daripada Kumpulan Hafiz Axia berdasarkan hasil risikan polis.
“Kumpulan ini terbabit dengan curi kenderaan selain 8 kes pecah cermin kereta membabitkan kerugian berjumlah RM150,000 di sekitar bandar Taiping yang aktif sejak awal tahun lepas,” katanya.
Osman berkata hasil soal siasat terhadap suspek membawa ke Bandar Tasek Mutiara, Simpang Empat di Pulau Pinang, pukul 5 petang, pada 24 Jan dan menemukan 2 komputer riba yang disembunyikan, hasil pecah cermin kereta di kawasan Masjid Kamunting.
Pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda HRV, 13g dadah jenis Methaphetamine, 3 keping kad pengenalan mangsa dan 3 keping lesen memandu mangsa selain 2 palam pencucuh yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta, 3 pasang sarung tangan dan satu pemutar skru, katanya.
Beliau berkata semua suspek ditahan reman sehingga hari ini dan akan disambung lagi mengikut Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 379A dan 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau berkata 2 lelaki berusia linkungan 30-an yang menganggotai Kumpulan Fikri 125Z ditahan kerana terbabit dalam 7 kes curi motosikal membabitkan kerugian berjumlah RM20,000 di sekitar daerah ini.
Beliau berkata suspek pertama ditahan ketika menunggang sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Simpang, Taiping dan di Kawasan Kampung Benggali di sini, pukul 6.30 pagi, pada 28 Jan manakala seorang lagi ditahan di sebuah rumah dekat Taman Sungai Mas pada pukul 9.30 pagi, pada hari yang sama.
“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek membawa polis ke kawasan semak berhampiran sebatang anak sungai di Kampung Benggali pukul 2.30 petang pada 30 Jan dan menemukan semula 3 motosikal yang dilaporkan hilang di bandar ini dan Pokok Assam,” katanya sambil menambah kumpulan itu aktif dengan kegiatan mencuri sejak pertengahan Dis tahun lepas.
Katanya, kedua-dua mereka berumur 30-an ditahan reman sehingga hari ini dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut.