
Hafiza Jusoh berkata, beliau sebaliknya menolak tawaran tersebut dan memutuskan untuk kekal mempertahankan jawatan itu dan sedia berdepan dengan Rina.
Beliau bagaimanapun berkata, perbincangan bersama pasukan Rina berjalan secara harmoni dan tiada sebarang paksaan atau ugutan dibuat supaya beliau menarik diri daripada menjadi lawan kepada calon bergelar menteri.
“Memang ada perbincangan dengan YB Rina, malah ia perbincangan biasa dan saya diajak bersama pasukan YB Rina yang bertanding jawatan ketua srikandi Sepang dan tidak ada sebarang paksaan untuk saya tarik diri.
“Malah apabila saya cakap saya tolak dan tetap akan bertanding, mereka kata tidak mengapa kita lawan, YB Rina juga terbuka, perbincangan secara harmoni dibuat.
“Malah saya tidak menganggap ia perkara negatif, bagi saya diajak berbincang itu biasa oleh seorang menteri dan berjawatan.
“Kalau saya berada di kedudukan beliau, mungkin saya akan lakukan perkara sama,” katanya kepada FMT.
Hafiza berkata, keputusannya kekal bertanding jawatan ketua Wanita Sepang dibuat atas permintaan akar umbi memandangkan beliau sudah lama mengemudi kawasan berkenaan.
“Saya bukan ke tempat menteri bertanding nak lawan menteri, tapi menteri datang ke tempat saya dan saya bertanding untuk mengekalkan jawatan saya atas permintaan akar umbi, mereka kata siapa saja datang kita lawan.
“Saya buat keputusan bertanding bukan untuk kepentingan peribadi saya, kalau saya lawan untuk kepentingan peribadi, sudah lama saya boleh rasa senang tapi itu bukan perjuangan.
“Perjuangan kita adalah meneruskan perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara. Kita tidak mahu menyimpang daripada perjuangan asal,” katanya.
Hafiza berkata, walaupun lawan beliau merupakan pimpinan kanan PPBM dan mempunyai kedudukan sebagai menteri, ia bukan penghalang untuk beliau kekal menang.
“Kehadiran Rina dengan seorang lagi calon adalah cara kita meraikan demokrasi, tidak ada rasa tergugat, sebab bagi saya siapa yang bekerja dia akan dipilih akar umbi.
“Kehadiran Rina membuka satu lagi peluang pilihan kepada ahli, sama ada nak bersama Rina atau bersama saya teruskan perjuangan.
“Apapun terpulang kepada akar umbi membuat keputusan, kita lawan secara sihat, siapa menang nanti kita kena hormat,” katanya yang mengaku peluang beliau menang akan lebih mudah jika lawannya bukan Rina.
“Peluang menang 50-50, saya kena usaha sikit lagi, sebab saya bukan orang ternama, saya bergerak ikut tahap saya yang penting kena ikhlas, niat perjuangan kena betul, itu orang akan nampak.”
Jangan main taktik kotor
Hafiza berkata, beliau berharap mana-mana calon yang bertanding tidak menggunakan taktik kotor bagi meraih sokongan termasuk menggunakan kedudukan dan jawatan untuk menang.
“Saya harap pemilihan kali ini bersih dan tiada politik kotor dari mana-mana individu, kalah menang belakang kira, jika menang, ia tanggungjawab kita memimpin,” katanya.
Pertandingan jawatan ketua Wanita bahagian Sepang dilihat sengit apabila ia melibatkan pertandingan 3 penjuru antara Hafiza sebagai penyandang, Rina dan Nur Hafiza Muhammad Nor.
Perebutan jawatan di peringkat bahagian itu menjadi tumpuan apabila Rina yang juga ketua Wanita PPBM pusat memutuskan bertanding di Sepang walaupun menang di kerusi Parlimen Titiwangsa dalam pilihan raya umum lalu.
Rina yang juga menteri pembangunan luar bandar memaklumkan keputusannya bertanding di Sepang kerana asal dan keluarganya ramai di sana.
Jumlah Wanita bahagian Sepang setakat 20 Jan 2020 ialah seramai 506 orang.
Pemilihan PPBM peringkat cawangan bermula 15 Feb hingga 28 Mac ini, bahagian mulai 18 April dan Perhimpunan Agung pada 25 hingga 28 Jun nanti.