Kumpulan hak transgender bidas Mujahid, gesa kerajaan pastikan keselamatan Sajat

Kumpulan hak transgender bidas Mujahid, gesa kerajaan pastikan keselamatan Sajat

Justice for Sisters berkata, kenyataan dan gesaan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hanya akan membawa risiko buruk kepada Nur Sajat di negara yang menjadikan ekspresi transgender sebagai jenayah.

Mujahid Yusof Rawa semalam mendakwa Nur Sajat mencemarkan imej Islam serta hubungan baik Malaysia dengan Riyadh.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi transgender menyelar kenyataan dan gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa untuk menyiasat Nur Sajat, selepas usahawan itu bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

Justice for Sisters berkata, tindakan Mujahid itu hanya akan membawa risiko buruk kepada Sajat di negara yang menjadikan ekspresi transgender jenayah.

Katanya, Arab Saudi menghukum golongan transgender berdasarkan ekspresi atau cara pemakaian mereka dan golongan itu berdepan cabaran ketika berada di negara terbabit.

“Kebimbangan sebenar bukan telekung, tetapi keselamatannya, pelanggaran privasi, kekurangan hak dan respons berdasarkan bukti oleh kerajaan dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Kontroversi timbul selepas Sajat yang berjaya dalam perniagaan menjual produk wanita, memuat naik video beliau bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

Pengguna media sosial marah dengan tindakan itu dan Mujahid pula mendakwa Sajat mencemarkan imej Islam serta hubungan baik Malaysia dengan Riyadh.

“Kita merasa kesal sebab dia (Sajat) menjejaskan imej Islam sebagai seorang yang dalam kad pengenalannya lelaki dan dia lelaki,” kata menteri itu semalam.

Justice for Sisters bagaimanapun memberi amaran, reaksi semberono Mujahid sudah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan Sajat, termasuk ahli keluarga dan rakannya di Malaysia.

“Dalam keadaan ini, di mana terdapat dakwaan penangkapan dan tekanan awam ke arah agensi pelancongan, kerajaan perlu mengambil langkah memastikan keselamatannya di luar negara dan beliau selamat pulang ke Malaysia.”

Sajat dilaporkan berpakaian lelaki ketika menaiki pesawat, tetapi bertelekung selepas tiba di Mekah.

Agensi pelancongan yang digunakan Sajat kemudiannya mengarahkan Sajat dan rakan transgendernya dalam kumpulan umrah itu dikeluarkan dari tanah suci.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.