
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendekatan ini untuk mengelakkan pemain industri dan pelancong dari mengalami kerugian ekoran isu jangkitan Koronavirus berkenaan.
“Sektor pelancongan amat penting kepada negara, kebanyakan tempahan yang datang untuk melancong atau untuk lawatan sosial di dalam atau luar negara dibatalkan.
“Justeru itu, bagi mengelakkan kerugian, kementerian berharap agar syarikat penerbangan, perhotelan dan pengangkutan untuk mempertimbangkan keputusan bagi memulangkan semula bayaran atau memanjangkan tempoh tempahan yang dibuat pelanggan,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Beliau yang menghadiri sesi dialog bersama pemain industri pelancongan di pejabatnya berkata para pemain industri perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh memberikan kesan terhadap ekonomi negara dan global.
“Kita tidak pasti sampai bila wabak itu akan berlaku, kita harap keadaan akan terkawal dan ekonomi akan pulih seperti sedia kala,” katanya.
Untuk rekod, pada tahun lepas, 39,933 pelancong yang berkunjung ke Sarawak datang dari China.