Ibu di Hubei merayu selamatkan anaknya hidap leukimia

Ibu di Hubei merayu selamatkan anaknya hidap leukimia

Anak seorang warga China yang sepatutnya menjalani sesi kedua kemoterapi di hospital Wuhan tidak dapat berbuat demikian memandangkan penularan koronavirus.

Lu bersama anaknya yang menghidap leukimia ketika berada di atas jambatan Sungai Yangtze.

Seorang ibu sanggup merayu dan menangis supaya pihak berkuasa membenarkan anaknya melepasi pemeriksaan polis di jambatan Sungai Yangtze untuk keluar dari wilayah Hubei, di China bagi mendapatkan rawatan di hospital.

Berdasarkan laporan Reuters, Lu Yuejin, 50, seorang petani di Hubei bertindak demikian kerana ingin menyelamatkan nyawa anaknya, Hu Ping, 26, yang menghidap leukimia.

Hu tidak dapat menjalani sesi kedua kemoterapi di hospital Wuhan susulan wabak koronavirus yang melanda.

Lebih memilukan, anaknya yang dibaluti selimut tebal dilihat duduk di atas tanah, sementara Lu merayu sambil menangis kepada polis.

“Anak saya perlu ke hospital di Jiujiang untuk menjalani rawatan tetapi mereka tidak membenarkan kami pergi.

“Saya tidak perlu tetapi tolonglah… Biarkan anak saya pergi. Apa yang saya mahukan adalah menyelamatkan nyawanya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kira-kira sejam selepas ditemui Reuters di pusat pemeriksaan, polis mula beredar bagi membuat panggilan telefon sebelum sebuah ambulans tiba.

Permintaan Lu ditunaikan apabila dia dan anaknya dipanggil pihak berkuasa sebelum dibenarkan melepasi pemeriksaan.

Sejak penularan wabak koronavirus, sebahagian besar jambatan ditutup dalam usaha menghentikan penyebaran penyakit.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak berputus asa dan cuba melepasi pemeriksaan polis.

Sebahagiannya berjaya kerana membeli tiket pesawat dan kereta api sebelum 24 Januari lalu tetapi kebanyakannya gagal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.