
Fernandes yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia, manakala Kamarudin yang juga pengerusi eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd dalam satu kenyataan berkata, tidak ada mana-mana pihak yang menghubungi mereka berhubung dakwaan yang terkandung dalam “Airbus’ Deferred Prosecution Agreement” dengan Pejabat Kesalahan Berat British.
“Ini merupakan satu pelanggaran asas prinsip keadilan yang jelas. Kami menafikan sebarang salah laku dan semua tuduhan terhadap kami sebagai pengarah di AirAsia.
“Kami tidak akan menjejaskan syarikat yang kami bina sepanjanghidup kami, sehingga berada di pentas global kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
AirAsia mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan Fernandes dan Kamarudin.
Terdahulu, The Telegraph melaporkan 2 “eksekutif” syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan AirAsiaX disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan amalan rasuah Airbus untuk mendapatkan kontrak melalui orang tengah bagi menjual pesawatnya ke seluruh dunia
Akhbar Britain itu berkata, dokumen itu adalah sebahagian daripada penyelesaian bernilai berbilion dolar dengan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, selepas pembuat pesawat Eropah itu mengakui “beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaan antarabangsanya”.
Dilaporkan, Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) untuk menaja sebuah pasukan sukan yang dikaitkan dengan 2 “pembuat keputusan utama” yang tidak dinamakan di AirAsia dan AirAsiaX.
Fernandes dan Kamarudin berkata, mereka bagaimanapun akan terus membantu AirAsia atas kapasiti penasihat apabila diperlukan.
“Akhirnya, kami mengalu-alukan sebarang siasatan dari pihak berkuasa dan akan memberikan sepenuhnya kerjasama,” katanya.
Semalam, saham AirAsia Group dan AirAsia X jatuh selepas dakwaan Pejabat Kesalahan Berat British bahawa Airbus membayar sogokan AS$50 juta untuk mendapatkan tempahan pesawat daripada kumpulan syarikat penerbangan bajet terbesar Asia itu.
Saham AirAsia jatuh 10% manakala saham AirAsia X jatuh 12%.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat dakwaan Pejabat Kesalahan Berat British itu. AirAsia berkata ia tidak pernah membuat keputusan pembelian berpremiskan tajaan Airbus dan ia akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM.