Suruhanjaya Sekuriti digesa siasat dakwaan rasuah AirAsia

Suruhanjaya Sekuriti digesa siasat dakwaan rasuah AirAsia

Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata dakwaan itu membabitkan kepentingan awam kerana AirAsia dan AirAsiaX ialah syarikat tersenarai.

Muhammad Mohan berkata, dakwaan rasuah terhadap AirAsia dan AirAsiaX membuktikan peruntukan liabiliti korporat yang terkandung dalam Akta SPRM amat diperlukan.
PETALING JAYA:
Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyiasat AirAsia dan AirAsiaX atas dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan 2 eksekutif syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata langkah itu perlu kerana kedua-duanya ialah syarikat tersenarai.

“Ini perkara berkaitan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah 2 syarikat itu perlu menjalankan siasatan berasingan berhubung dakwaan berkenaan.

Semalam, akhbar Britain, The Telegraph melaporkan 2 “eksekutif” AirAsia dan AirAsiaX disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah Airbus untuk mendapatkan kontrak melalui orang tengah korup bagi menjual pesawatnya di seluruh dunia.

Dokumen itu sebahagian daripada penyelesaian berbilion dolar dengan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, selepas pembuat pesawat Eropah itu mengakui “beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaan antarabangsanya”.

Memetik dokumen dilampirkan kepada penyelesaian itu, The Telegraph melaporkan Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) untuk menaja sebuah pasukan sukan yang dikaitkan dengan 2 “pembuat keputusan utama” yang tidak dinamakan di AirAsia dan AirAsiaX.

SPRM mengesahkan ia sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan rasuah itu dengan menghubungi pihak berkuasa UK.

AsiaAsia dalam kenyataan semalam bagaimanapun menolak dan menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan salah laku dan berjanji akan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan mereka.

Muhammad berkata, dakwaan terhadap syarikat penerbangan tambang rendah tu membuktikan peruntukan liabiliti korporat yang terkandung dalam Akta SPRM amat diperlukan.

Peruntukan itu akan berkuat kuasa Jun ini.

“Ia untuk memastikan tadbir urus baik dalam semua organisasi komersial di Malaysia, manakala syarikat dan pengarah perlu bertanggungjawab merangka prosedur mencukupi untuk mengurangkan risiko rasuah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.