
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, agensi penguatkuasaan itu telah memulakan siasatan mengenai perkara itu.
“Di bawah Akta SPRM, kami mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa perbuatan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana warganegara dan penduduk tetap Malaysia di mana-mana tempat di luar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu dilaporkan, 2 “eksekutif” syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan AirAsia X disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah oleh Airbus bagi mendapatkan kontrak melalui orang tengah untuk menjual kapal terbangnya di seluruh dunia, menurut akhbar UK, The Telegraph.
Dokumen itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian bernilai berbilion dolar yang dicapai dengan pihak berkuasa di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat selepas syarikat pengeluar kapal terbang Eropah itu mengakui kewujudan “beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaannya”, kata akhbar itu hari ini.
Ia berkata, Airbus menyerahkan lebih 30 juta dokumen kepada penyiasat.
Dalam satu kenyataan Airbus berkata, ia bersetuju membayar hampir 1 bilion Euro (RM4.5 bilion) di UK, 2.1 bilion Euro (RM9.5 bilion) di Perancis dan 530 juta Euro (RM2.4 bilion) di AS.
Memetik dokumen yang dikepilkan dengan dokumen terbabit, The Telegraph melaporkan bahawa Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) lagi untuk menaja satu pasukan sukan yang dikaitkan dengan 2 “pembuat keputusan utama” AirAsia dan AirAsia X yang tidak dinamakan.
“Syarikat penerbangan tersebut memesan 180 pesawat daripada Airbus dan 2 eksekutif itu “diberi ganjaran berikutan pesanan tersebut” yang disifatkan oleh dokumen terbabit “dibuat melalui kaedah pembayaran tidak sah”, kata akhbar itu lagi.