Skuad terjun pulang dari latihan di China bebas koronavirus

Skuad terjun pulang dari latihan di China bebas koronavirus

Kesatuan Renang Amatur Malaysia berkata, semua penerjun akan menjalani latihan intensif di tanah air sehingga kejohanan di Jerman dan Kanada bulan depan.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia, Mae Chan berkata semua penerjun dan jurulatih negara tidak akan ke China sehingga keadaan di sana pulih. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Skuad terjun negara yang menjalani latihan di Chengdu, China kembali ke tanah air semalam ekoran peningkatan wabak koronavirus yang semakin serius di negara itu.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Mae Chan berkata semua penerjun dan jurulatih disahkan bebas jangkitan koronavirus.

“Mereka balik dalam keadaan sihat, tidak ada demam atau batuk. Mereka dihantar ke Institut Sukan Negara (ISN) bermula pagi ini untuk pemeriksaan kesihatan lanjut dan tidak akan ke China sehingga keadaan di negara itu kembali pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, langkah pencegahan dilaksanakan ke atas penerjun negara ketika di China, termasuk suhu badan mereka diperiksa setiap hari.

Katanya, mereka akan menjalani latihan intensif di tanah air sehingga kejohanan terjun Grand Prix di Rostock, Jerman pada 20 hingga 23 Feb dan kejohanan terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada pada 28 Feb hingga 1 Mac ini.

Pasukan negara terdiri daripada 5 penerjun iaitu Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold serta 2 jurulatih Li Rui dan Li Teng.

Bagaimanapun, juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong masih berada di China untuk menjalani latihan bersama bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang di Qinhuangdao.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail berkata, Jun Hoong belum memuktamadkan tarikh beliau akan kembali ke Malaysia.

“Jun Hoong masih mahu berada di sana. Dia selesa dengan latihan di sana. Tempat Jun Hoong dengan kawasan terkesan wabak itu jauh, jadi dia tidak terkesan.

“Bagaimanapun Jun Hoong dan jurulatihnya masih memantau keadaan di sana dan jika (keadaan) merisaukan, sudah pasti dia akan balik. Buat masa sekarang, dia rasa selesa dan tiada kerisauan untuk Jun Hoong kekal di sana.”

Mengikut perancangan awal, Pandelela dan Mun Yee sepatutnya kembali ke tanah air untuk memperbaharui visa pada 2 Feb ini, diikuti Wendy, Kimberly dan Enrique pada 13 Feb, manakala Jun Hoong pada 14 Mac.

South China Morning Post melaporkan angka korban wabak koronavirus di China meningkat kepada 259 orang dengan 11,791 kes positif disahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.