
Banyak kisah suka, duka malah lucu yang terlakar sepanjang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sedang berlangsung kini.
Dari hobi unik penerjun Britain Tom Daley yang gemar mengait hinggalah kepada penggunaan kondom untuk membaiki kayak yang membawa pingat emas buat atlet Australia.
Malaysia juga tidak kurang dengan kisah tersendiri.
Nur Dhabitah Sabri, 22, atlet penerjun negara yang cukup dikenali dengan senyuman manisnya tular apabila dia dilihat menari sambil diikuti dari belakang oleh rakan penerjun dari negara lain.
Video yang tular di media sosial itu mencuri perhatian ramai warganet yang terhibur melihat gelagat comel atlet yang lebih mesra dipanggil Bitah itu, menari ketika sedang beratur sambil diikuti atlet lain.
Warganet rata-rata berpandangan, personalitinya yang ceria, suka berceloteh dan kaya dengan senyuman itu menyebabkan dia menang di hati semua.
Video berdurasi kira-kira 10 saat itu menunjukkan Bitah yang sedang beratur bersama atlet lain menari dalam gaya yang sangat comel.
Gayanya seolah menggambarkan bagaimana seorang atlet bertaraf antarabangsa mengawal rasa debar di dada sebelum acara berlangsung.
Ia membuktikan acara sukan antarabangsa seperti Olimpik mampu menyatukan atlet dari negara yang berbeza.
Nur Dhabitah menamatkan persaingannya di ranking keempat dengan catatan 326.15 mata, kedudukan yang lebih baik berbanding di peringkat separuh akhir.
Mungkin tiada kilauan pingat buatnya kali ini, namun perjalanan kerjaya sukan Nur Dhabitah masih jauh dan berpotensi besar untuk tampil sebagai antara penerjun terbaik dunia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]