Majoriti pemimpin kanan PPBM menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian

Majoriti pemimpin kanan PPBM menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Syed Hamid Albar berkata, 39 daripada 189 ketua bahagian menang tanpa bertanding dalam pemilihan pertama parti itu.

Syed Hamid Albar (tengah) menerima borang pencalonan daripada peringkat bahagian di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Majoriti pemimpin kanan PPBM menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Syed Hamid Albar.

Katanya, 39 daripada 189 ketua bahagian menang tanpa bertanding dalam pemilihan pertama PPBM, termasuk Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Presiden, Muhyiddin Yassin (Pagoh), Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Setiausaha Agung, Marzuki Yahya (Bagan), Setiausaha Kerja, Suhaimi Yahya (Batu), Ketua Penerangan, Radzi Jidin (Ketereh), Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ketua PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Ketua PPBM Terengganu, Razali Idris (Marang) dan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (Tuaran).

Beliau berkata, 45 ketua bahagian Wanita dan 63 ketua bahagian Pemuda turut menang tanpa bertanding.

Tetapi, katanya, Ketua Wanita PPBM, Rina Harun akan ditentang Hafizah Jusoh dan Norhafiza Muhamad Zaini untuk jawatan ketua Wanita Bahagian Sepang, manakala Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Redzuan Yusof akan berdepan saingan Mas Ermieyati Samsudin bagi jawatan jawatan ketua PPBM Bahagian Masjid Tanah.

“Kalau kita tak umumkan menang tanpa bertanding, bermakna dia bertanding. Tak perlu nak tanya soalan yang sudah memang lagi terang, sudah nampak terang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Ditanya jika Ketua Pemuda PPBM Selangor, Adhif Syan Abdullah yang digantung sayap itu selepas ditahan dalam serbuan polis di Puchong lebih 2 minggu lalu layak bertanding, Syed Hamid berkata, ahli yang digantung parti tidak layak bertanding bagi semua jawatan.

“Bagi jawatan ketua bahagian atau di peringkat bahagian, kami tidak menerima sebarang borang pencalonan daripada dia.”

Sementara itu, Syed Hamid berkata, PPBM menerima 11,100 borang pencalonan untuk 7,371 jawatan yang dipertandingkan di peringkat bahagian dengan 9,452 pencalonan diluluskan yang membabitkan 4,631 pencalonan bahagian, 2,581 pencalonan bagi sayap Wanita dan 2,240 Pemuda.

Katanya, sebanyak 1,648 pencalonan ditolak atas pelbagai faktor, termasuk mempunyai kes mahkamah, jenayah, rasuah serta salah laku lain.

Beliau berkata, ahli boleh mengemukakan bantahan terhadap mana-mana jawatan itu sehingga 14 Feb ini dan calon akan digugurkan jika terbukti bantahan itu sahih.

Pemilihan PPBM peringkat cawangan bermula 15 Feb hingga 28 Mac ini, bahagian mulai 18 April dan Perhimpunan Agung pada 25 hingga 28 Jun nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.