Lantikan penasihat program KEDA bukan motif politik, kata Umno Kedah

Lantikan penasihat program KEDA bukan motif politik, kata Umno Kedah

Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pelantikan ketua bahagian sebagai penasihat itu sebahagian tanggungjawab sosial.

hazizy
Shaiful Hazizy Zainol Abidin jelaskan perjawatan diwujudkan hanya bertindak sebagai penasihat program, selain menjadi penghubung maklumat antara agensi dan masyarakat setempat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Kedah menolak dakwaan wakil rakyat PAS bahawa pelantikan ketua-ketua bahagiannya sebagai penasihat program dan aktiviti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) peringkat zon mempunyai unsur politik.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pelantikan itu tanggungjawab sosial untuk memastikan pelaksanaan program kemasyarakatan di kawasan luar bandar berjalan lebih berkesan.

“Pelantikan ini bukanlah lantikan politik, sebaliknya bertujuan membantu memastikan inisiatif seperti pembaikan rumah rakyat, pendidikan komuniti dan keusahawanan mikro benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat mempersoalkan rasional melantik ketua bahagian Umno di seluruh Kedah sebagai penasihat program dan aktiviti di bawah KEDA pada Mei lalu.

Menjelaskan perkara itu, Shaiful berkata, perjawatan yang diwujudkan hanya bertindak sebagai penasihat program, selain menjadi penghubung maklumat antara agensi dan masyarakat setempat.

Beliau menegaskan, semua aspek perancangan, kewangan, perolehan dan pelaksanaan program kekal di bawah tanggungjawab penuh KEDA tanpa campur tangan mana-mana pemimpin Umno atau individu yang dilantik sebagai penasihat.

“KEDA sendiri telah menegaskan bahawa penasihat tidak mempunyai kuasa membuat keputusan kewangan mahupun pentadbiran,” katanya.

Menurutnya lagi, jawatan penasihat tersebut tidak membawa sebarang imbuhan, kuasa atau keistimewaan, sebaliknya bersifat sukarela bagi memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat luar bandar selaras dengan objektif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Shaiful turut menegaskan KEDA kekal sebagai agensi kerajaan untuk rakyat dan bukan milik mana-mana parti politik.

Beliau berkata, lembaga pengarah KEDA turut dianggotai wakil kerajaan negeri termasuk setiausaha kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian, serta Exco negeri, Siti Aishah Ghazali.

“Ini jelas menunjukkan pelantikan dibuat secara profesional, telus dan berintegriti,” katanya sambil menambah Umno Kedah menolak sebarang cubaan mempolitikkan usaha membantu rakyat.

“Menjadikan inisiatif ini polemik politik hanya akan mengalihkan tumpuan daripada agenda sebenar membangunkan masyarakat luar bandar dan memperkukuh kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.