Peguam Indira persoal KPN isu penyelesaian ‘win-win’

Peguam Indira persoal KPN isu penyelesaian ‘win-win’

Tidak perlu penyelesaian seperti itu kerana Mahkamah Persekutuan sudah memerintahkan Prasana Diksa dipulangkan kepada ibunya.

Indira Gandhi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam Indira Gandhi tertanya kenapa Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mencari penyelesaian “win-win” dalam kes anak perempuannya dibawa lari bekas suaminya.

Peguam Indira berkata tidak ada keperluan untuk mengusahakan suatu “win-win” kerana Mahkamah Persekutuan sudah memerintahkan KPN dan polis menahan Ridhuan Abdullah dan memulangkan Prasana Diksa kepada ibunya.

“Komen KPN bahawa beliau mengusahakan suatu keadaan ‘win-win’ adalah sukar hendak dibayangkan,” kata Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal dalam kenyataan hari ini.

“KPN tak perlu usahakan apa-apa. KPN tak perlu gembirakan mana-mana pihak. Anda tidak perlu jawab, tidak perlu jelaskan kenapa, hanya perlu patuhi dan laksanakan keputusan Mahkamah Persekutuan.”

Indira, seorang wanita Hindu, dianugerahkan hak menjaga Prasana tetapi perempuan itu dibawa lari bekas suaminya.

Dia memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izinnya – langkah yang Mahkamah Persekutuan isytiharkan ditegah undang-undang pada 2018.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 memerintahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana yang dibawa lari semasa berusia 11 bulan pada 2009.

Polis belum dapat mengesan Ridhuan dan Prasana. Pada Selasa, satu kumpulan sokongan untuk Indira mengancam saman RM100 juta terhadap Hamid sekiranya polis gagal menjelaskan kenapa Prasana belum dapat dikesan dan disatukan dengan ibunya.

Ketika diminta mengulas perkembangan itu pada satu sidang media, Hamid berkata polis sedang mengusahakan penyelesaian “happy ending” bagi menjaga kebajikan kanak-kanak itu.

Peguam Indira mahu tahu apakah Hamid tahu di mana Ridhuan dan Prasana berada dan apakah yang dia maksudkan dengan penyelesaian “win-win”.

Pada Selasa, Indira Gandhi Action Team (INGAT) berkata mereka bimbang akan keselamatan Prasana kerana tiada rekod kerajaan tentangnya, seperti rekod imunisasi dan pendaftaran sekolah.

Menyeru kes itu dikelaskan semula sebagai kes anak hilang, jurucakap INGAT, Arun Dorasamy berkata mereka akan membuat 2 tindakan undang-undang bulan depan, menuntut RM100 juta atas penderitaan dan ganti rugi lain akibat ketidakmampuan polis mengesan Prasana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.