Pemilihan PPBM: Rina Harun sah bertanding di Sepang

Pemilihan PPBM: Rina Harun sah bertanding di Sepang

Proses pencalonan bagi pemilihan PPBM bermula hari ini di 189 bahagian di seluruh negara.

Ketua Srikandi PPBM Rina Harun mengesahkan akan bertanding di Sepang dalam pemilihan PPBM tahun ini.
SHAH ALAM:
Ketua Srikandi PPBM, Rina Harun tidak akan bertanding bagi merebut mana-mana jawatan di kawasan Parlimen Titiwangsa dalam pemilihan parti itu kali ini.

Rina bagaimanapun memaklumkan akan menyerahkan borang untuk bertanding di kawasan Sepang tetapi tidak mendedahkan jawatan yang akan ditandinginya.

“Tunggu petang ini, saya belum hantar borang lagi, dalam perancangan, petang baru saya hantar.

“Saya memang asal Sepang, ibu saya orang Sepang dan memang asal usul saya Sepang, keluarga saya ramai di Sepang. Dulu saya ketua Puteri Umno pun di bahagian Sepang.

“Saya memang ahli di Sepang, jadi kalau (jawatan parti) di Titiwangsa biar orang lain jaga. Kita sama-sama saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya yang juga ahli Parlimen Titiwangsa.

Rina berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Nak Ubah Hidup (Nuh) 2020 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Rina turut menafikan beliau akan merebut jawatan ketua bahagian Sepang.

“Tidak (bertanding jawatan ketua bahagian), tapi tunggu petang ini,” katanya.

Ketika diminta mengulas keputusan beliau bertanding di Sepang sebagai langkah awal mempersiapkan diri untuk bertanding kerusi Parlimen kawasan itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, Rina berkata, masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Sebelum kita nak pikir PRU, kita pikir macam mana nak menangi hati rakyat,” katanya.

Walaupun memegang jawatan ketua Srikandi PPBM pusat, Rina tidak memegang sebarang jawatan di peringkat akar umbi.

Proses pencalonan bagi pemilihan PPBM bermula hari ini di 189 bahagian di seluruh negara.

Ia disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Feb sehingga 29 Mac, dengan mesyuarat di peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April.

Perhimpunan agung PPBM pula akan diadakan selama 4 hari bermula 25 Jun hingga 28 Jun ini yang bakal menyaksikan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.