
Rakan kongsi kanan di Raine & Home Malaysia, Michael Geh berkata, orang muda di Thailand, Indonesia, Laos dan Kemboja tidak mampu “bermimpi untuk membeli rumah” kerana harganya yang mahal.
“Tetapi di Malaysia, anda masih boleh membelinya jika anda tergolong dalam kelompok isirumah 2 pendapatan atau jika anda membelinya secara pemilikan bersama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, bank tempatan juga lebih terbuka dalam memberikan pinjaman rumah kepada golongan muda berbanding di negara jiran.
Selasa lepas, pengerusi eksekutif firma perunding hartanah Rahim & Co berkata, lebih 50,000 unit unit rumah kediaman bernilai kira-kira RM34 bilion tidak terjual sehingga suku ketiga tahun lepas.
Beliau berkata, salah satu sebab keadaan itu ialah tahap gaji di Malaysia tidak meningkat selari dengan harga hartanah.
Geh menggesa kerajaan lebih banyak berusaha memperbaiki pasaran kerja bagi mendorong pembelian rumah dalam kalangan orang muda.

Beliau berkata, insiden rumah kediaman tidak terjual mungkin juga disebabkan lokasi pembangunan rumah yang silap.
Katanya, kepantasan pembinaan hartanah tidak selaras dengan pertambahan perlahan penduduk Malaysia berikutan keinginan syarikat pemaju yang disenaraikan di bursa saham membuktikan kemampuan kepada pelabur.
“Mereka perlu membangunkan rumah bagi menunjukkan pencapaian untuk memastikan harga saham dan pencapaian saham terus baik,” katanya.
“Jadi mereka terus membeli tanah, membangunkan rumah dan meraih untung.”