
Dalam satu saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini, LFL juga memohon perisytiharan mahkamah bahawa menteri berkenaan atau mana-mana orang yang bertindak di bawah bidang kuasanya tidak boleh memguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Perlindungan daripada Berita Palsu dan Manipulasi Atas Talian (Pofma).
“Arahan pembetulan yang dikeluarkan oleh Singapura di bawah Pofma adalah tidak sah, menindas dan merupakan percubaan untuk menutup mulut rakyat Malaysia daripada menikmati hak kebebasan bersuara mereka,” kata LFL.
Selain LFL, plaintif lain termasuklah penasihatnya N Surendran dan pengarah Melissa Sasidaran.
Menteri Singapura, K Shanmugam dinamakan sebagai defendan.
Tindakan pantas itu dibuat selepas LFL mendakwa ia menerima bukti mengenai kaedah sedemikian digunakan oleh warden penjara sekiranya prosedur gantung gagal semasa pelaksanaan hukuman mati.
Surendran, yang juga seorang peguam mendakwa, sekiranya tali gantung putus semasa hukuman dijalankan, seorang pegawai penjara akan menarik tali di leher banduan terbabit ke arahnya.
“Pada masa sama, seorang pegawai lain akan mewujudkan tekanan dengan menarik badan banduan ke arah bertentangan,” katanya sebelum ini.
Dengan mendakwa bahawa maklumat itu dikongsikan oleh bekas algojo di Penjara Changi, Surendran berkata, warden penjara akan menyepak belakang banduan “dengan kuat untuk mematahkannya”, sekali gus memastikan tidak terdapat kesan yang tertinggal sekiranya autopsi dijalankan.
Singapura berkata, dakwaan tersebut adalah “tidak benar, tidak berasas dan tidak masuk akal”, selain menambah bahawa semua hukuman mati di negara itu dijalankan dengan pematuhan ketat undang-undang.
Ia juga mengarahkan pejabat Pofma mengeluarkan satu “arahan pembetulan” terhadap kenyataan LFL di laman webnya.
Sementara itu, peguam Gurdial Singh Nijar berkata, ia merupakan langkah luar biasa terhadap Singapura kerana hukuman kerana melanggar Pofma adalah penjara.
“Mereka boleh keluarkan waran tangkap terhadap Surendran dan Melissa untuk mengadapi pendakwaan di sana,” katanya.
Gurdial yang mewakili kes tersebut bersama-sama Ambiga Sreenevasan berkata, menteri berkenaan boleh berlindung di sebalik imuniti kenegaraan untuk tidak menjawab saman berkenaan, tetapi pada masa sama beliau telah menceroboh hak asasi rakyat Malaysia.
“Anda tidak boleh memperluaskan undang-undang anda untuk meliputi rakyat negara lain,” kata Gurdial selain, menambah bahawa beliau berharap menteri terbabit mencabar saman itu di mahkamah Malaysia.
Ambiga berkata, plantif sangat perlu untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap menteri tersebut kerana kerajaan Malaysia telah memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar.
Dalam afidavit menyokong tindakan itu, plaintif berkata, kenyataan LFL yang dikeluarkan pada 16 Jan adalah atas kepentingan awam kerana terdapat ramai rakyat Malaysia yang berhadapan hukuman mati di Singapura.
Mereka berkata, menteri terbabit mengeluarkan perintah supaya dilakukan pembetulan dan kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan di bawah Pofma yang membawa hukuman denda sehingga S$20,000 atau hukuman penjara maksimum 12 bulan ke atas individu.
Kata mereka juga, LFL telah membuat satu kenyataan akhbar 3 hari lepas menolak pendirian menteri berkenaan.