
Pada 6 petang, ringgit disebut pada 4.0680/0710 berbanding dolar AS daripada 4.0650/0680 pada Rabu.
Peniaga berkata, pasaran ringgit agak lengang hari ini menjelang sambutan Tahun Baru Cina bermula esok.
Ketua pakar strategi pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, kebimbangan berhubung wabak selesema menjejaskan kenaikan di pasaran secara keseluruhannya.
Beliau menjangkakan aliran masuk akan meningkat selepas perayaan Tahun Baru Cina apabila pasaran kembali menumpukan perjanjian perdagangan fasa 1 antara AS dengan China, yang menandakan permulaan sederhana, namun positif untuk meredakan ketegangan perdagangan AS-China.
“Bagaimanapun bagi jangka pendek, peniaga tempatan akan memantau minat pelabur terhadap yen Jepun sebagai mata wang selamat dan dolar Singapura disebabkan faktor kedekatannya, yang boleh menjadi petunjuk utama untuk meneliti sentimen pasaran Malaysia bagi jangka terdekat,” katanya.
Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.
Unit tempatan susut kepada 3.0138/0171 berbanding dolar Singapura daripada 3.0122/0156 pada Rabu, dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7130/7171 daripada 3.6965/6995.
Ringgit turun berbanding euro kepada 4.5086/5135 daripada 4.5077/5126 semalam dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3413/3469 daripada 5.3085/3140.