Langkah kawalan, pencegahan polio giat dilaksana di Sabah, kata KKM

Langkah kawalan, pencegahan polio giat dilaksana di Sabah, kata KKM

Sehingga 21 Jan lepas, 3 kes polio disahkan di Sabah dan kesemua pesakit dalam keadaan stabil.

Pada 8 Dis, KKM memaklumkan seorang bayi lelaki berumur 3 bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit polio, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dan kerajaan negeri sedang melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dilakukan melalui 3 fasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan kawalan dan pencegahan wabak berkenaan diambil sejak kes pertama polio dilaporkan di negeri itu.

Beliau berkata sehingga 21 Jan lepas, 3 kes polio disahkan di Sabah dan kesemua pesakit dalam keadaan stabil.

“Bagi fasa satu, pemeriksaan kontak kes dan kajian najis bagi pengesanan virus polio daripada 20 kanak-kanak sihat, pemberian imunisasi polio menggunakan vaksin polio tidak aktif (IPV) kepada kanak-kanak cicir imunisasi polio di kawasan kes telah selesai dijalankan.

“Kawasan tersebut ialah Tuaran, Kinabatangan dan Sandakan.

Tiada kes paralisis dikesan dan semua kanak-kanak sihat dan negatif virus polio,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagi fasa 2 yang sedang dilaksanakan, Noor Hisham berkata, imunisasi polio dos 1 diberikan secara titisan ke mulut (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 5 tahun di Sabah menerusi Supplementary Immunisation Activity (SIA) di bawah Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020).

“Sehingga 21 Jan, seramai 34,692 kanak-kanak berumur bawah 5 tahun diberikan vaksin polio oral (OPV).

“Sebanyak 17 daerah juga mula laksanakan KIPS 2019/2020 antaranya Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tenom dan Keningau sehingga semalam dan ia akan diperluas ke daerah lain secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, pengurusan wabak polio di Sabah agak mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerana terdapat banyak isu sosioekonomi yang terlibat.

Pada 8 Dis, KKM memaklumkan seorang bayi lelaki berumur 3 bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit polio, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio.

Susulan insiden itu, pelbagai langkah berjaga dan advokasi diberikan bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan daripada berleluasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.