Nufam gesa Putrajaya telus dalam pengambilalihan Malaysia Airlines

Nufam gesa Putrajaya telus dalam pengambilalihan Malaysia Airlines

Kesatuan itu menyeru kerajaan supaya menamakan pihak yang berminat dalam pengambilalihan syarikat penerbangan nasional.

PETALING JAYA: Kumpulan mewakili pekerja menggesa Putrajaya supaya telus berhubung sebarang cadangan pengambilalihan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) berkata, pekerja syarikat penerbangan yang dibebani hutang itu tidak seharusnya “dikejutkan” oleh berita daripada pihak ketiga, sambil menambah bahawa mereka berhak mengetahui tentang apa-apa pelan pengambilalihan secara langsung.

Nufam menyeru kerajaan menamakan pihak-pihak yang berminat dalam pengambilalihan, selain menekankan bahawa proses pembidaan yang adil dan terbuka adalah penting bagi menjaga masa depan syarikat penerbangan itu.

“Setiap kali kami bertanya tentang kemajuan Malaysia Airlines Berhad (MAB), semua kelihatan terlalu senyap tetapi tawaran sudah berlaku secara senyap. Kenapa begitu rahsia?

“Terdapat keperluan untuk jujur dalam rancangan ini kerana ia adalah kepentingan nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Nufam memberi amaran terhadap pengambilalihan oleh Air Asia X Bhd, dengan berkata, syarikat penerbangan itu dan MAB adalah “bom jangka” susulan kekangan kewangan dan kerugian yang dialaminya.

Kesatuan itu menggesa Air Asia Group Bhd supaya menjelaskan sebarang pelan penggabungan dengan syarikat penerbangan kebangsaan itu, sambil berkata, pengambilalihan oleh kumpulan hanya akan memberi manfaat kepada mereka.

“Perjanjian itu mungkin untuk mengambil alih laluan antarabangsa MAB sedia ada dan asetnya. Tapi apa yang akan berlaku kepada kru, juruterbang, jurutera dan mereka yang bekerja untuk operasi jarak jauh ini? ”

Nufam berkata, tiada seorang pun daripada pegawainya berunding berhubung cadangan mana-mana penggabungan atau pengambilalihan, sambil menambah bahawa situasi semasa syarikat penerbangan itu juga merupakan hasil kegagalan kerajaan untuk merujuk kesatuan pada masa lalu.

Menjelang tahun baru, Putrajaya dilaporkan menolak percubaan satu “konglomerat berprofail tinggi” untuk mengambil alih Malaysia Airlines.

Sumber memberitahu FMT mengenai satu cadangan “penuh persoalan” yang dikemukakan kepada Khazanah Nasional untuk menggabungkan Malaysia Airlines dengan sebuah syarikat penerbangan lain.

Dalam satu taklimat media hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan menerima 5 cadangan untuk syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines yang dibebani hutang itu.

Kerajaan mencari rakan strategik bagi syarikat penerbangan yang mengalami masalah kewangan itu, yang masih belum pulih daripada 2 tragedi pada 2014, iaitu ketika apabila pesawat MH370 hilang secara misteri dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Khazanah Aviation Group memiliki sepenuhnya Malaysia Airlines yang mencatatkan kerugian berbilon ringgit dalam tempoh 5 tahun terakhir ini.

Berikutan pengambilalihan Malaysia Airlines, Khazanah melaksanakan langkah perubahan yang menyaksikan beberapa ribu orang hilang pekerjaan serta peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif warga asingnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.