
“Anwar mahu saman saya? Teruskan,” kata Muhammed Yusoff Rawther kepada pemberita dalam sidang akhbar yang disertai oleh peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di sini, hari ini.
Ini merupakan penampilan umumnya yang pertama sejak Jabatan Peguam Negara mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan kes itu.
Haniff berkata, terdapat beberapa soalan berbangkit daripada kenyataan Jabatan Peguam Negara yang dikeluarkan pada 14 Jan oleh peguam cara negara, Engku Nor Faizah Engku Atek, sambil menambah bahawa beliau telah meminta mengadakan pertemuan dengannya bagi mendapatkan penjelasan.
“Kami meminta balasan positif dalam tempoh 7 hari (dari hari ini). Kami harap kami boleh mendapat jawapan pada 24 Jan,” kata Haniff.
Beliau berkata, penjelasan daripada Engku Nor Faizah adalah penting bagi Yusoff untuk membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.
Antara lain, Haniff mempersoalkan kenyataan Jabatan Peguam Negara bahawa pihak polis mencadangkan kes itu ditutup ketika mereka menyerahkan kertas siasatan berhubung kes tersebut.
“Jika polis membawa kertas siasatan, ia bermakna mereka percaya ada tindakan lanjut. Oleh itu, ini memerlukan penjelasan yang lain.
“Kami harap peguam cara dapat menjelaskan perkara ini,” katanya.
Haniff berkata sehingga kini beliau belum menerima notis tindakan sivil daripada mana-mana pihak, khususnya peguam Anwar, Ramkarpal Singh.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Anwar sebelum ini yang berkata, satu tindakan undang-undang telah difailkan dan diteruskan.
“Jadi saya telah tulis surat kepada Ramkarpal memberitahu kami belum menerima saman tersebut dan kami bersedia untuknya.
“Daripada perbicangan dengan Yusof, beliau lebih selesa jika Anwar teruskan dengan tindakan sivil tersebut dan tidak menarik balik tindakan yang dikatakan telah difailkan,” katanya.
Haniff berkata, pertikaian pihaknya dengan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat tiada kelengkapan fakta material untuk meneruskan kes boleh diselesaikan di mahkamah sivil.
“Jadi kami melihat ke depan mengenai tindakan sivil,” katanya.
Ketika ditanya sama ada sekiranya kes sivil itu akan memberi kesan ke atas isu peralihan kuasa kepimpinan kerajaan membabitkan Anwar Ibrahim, Haniff berkata, apa-apa kes yang wujud akan memberi kesan ke atas isu tersebut.
Bagaimanapun katanya, isu peralihan kuasa merupakan isu membabitkan Pakatan Harapan dan beliau hanya memberi pandangan sebagai seorang peguam.
“Biarkan mereka (PH) buat keputusan mengenainya,” katanya.
Berikutan laporan polis Yusoff pada awal Dis lepas, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman memulakan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berkaitan penggunaan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan seseorang.
Polis merekodkan kenyataan Yusoff, selain menjalankan ujian poligraf ke atasnya.
Polis juga menyoal siasat Anwar sebelum mengiringinya ke rumah beliau di Bukit Segambut. Anwar menafikan dakwaan Yusoff.