
Mohamad Safari Abdullah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata demikian ketika disoal peguam Isa, Salehuddin Saidin, berhubung siasatannya ke atas kes bekas pengerusi Felda itu pada 2017.
Salehuddin bertanya Safari sama ada SPRM menemui sebarang jejak wang atas dakwaan bayaran daripada ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel kepada Isa untuk meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPSH) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ikhwan ketika memberi keterangan sebelum ini berkata, beliau membayar RM3.09 juta menerusi 9 transaksi kepada Isa antara Julai 2014 hingga Disember 2015.
Safari berkata, SPRM tidak menemui sebarang jejak wang dalam 9 bayaran yang didakwa diberikan kepada Isa menerusi bekas pembantunya, Muhammad Zahid Md Arip.
“Dakwaan insiden itu berlaku dari 2013 hingga 2015 dan siasatan saya hanya bermula pada 2017. Saya percaya wang itu tiada lagi.”
Safari juga bersetuju dengan Salehuddin tiada rakaman CCTV atau saksi yang boleh mengesahkan Zahid menerima wang itu daripada Ikhwan.
Salehuddin: Jadi, apa yang anda kumpul ketika siasatan anda sehingga bukti itu dikemukakan kepada mahkamah adalah berdasarkan kenyataan Zahid kepada SPRM?
Safari: Ya.
Safari memberitahu mahkamah, siasatan ke atas pembelian Merdeka Palace oleh Felda bermula selepas agensi anti-rasuah itu menerima satu aduan pada 26 Julai 2017.
Aduan itu menyatakan Isa yang juga pengerusi FIC ketika itu, menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan sogokan ke atas pembelian hotel berkenaan.
Beliau berkata, selepas melengkapkan siasatannya, timbalan pendakwa raya mengarahkan beliau memfailkan dakwaan terhadap Isa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas dakwaan pecah amanah dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM kerana menerima RM3.09 juta daripada Ikhwan.
Isa berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.
Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, manakala kesalahan di bawah Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.