
Petisyen bantahan itu dibacakan oleh wakil pekerja, Roslan Umar, 45, manakala petugas yang lain mempamerkan kain rentang dan sepanduk yang menggesa campur tangan kerajaan terhadap perkara itu.
“Sebagai petugas LLPM kami membantah sekeras-kerasnya keputusan yang dibuat Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan (LPA) bagi pengambilalihan Labuan Liberty Wharf oleh pengendali baru,” katanya ketika membaca petisyen itu di Desa Tunas, Kampung Sungai Miri di sini.
Katanya, mereka mahu LLPM yang berjaya membawa banyak perubahan ke atas pelabuhan itu tanpa sebarang geran daripada kerajaan terus menerajui operasi pelabuhan berkenaan.
Petisyen itu yang turut dikongsikan kepada pihak media turut menyatakan pelantikan pengendali baru dari luar Labuan dilihat mengetepikan kepentingan pihak tempatan.
Roslan berkata, mereka telah lama bekerja dengan LLPM bagi memastikan operasi berjalan lancar sejak sebelum LPA ditubuhkan.
Wakil pengurusan LLPM Azhar Othman berkata, beliau tidak menyangka pekerja mengadakan piket berkenaan dan menghargai kesetiaan yang ditunjukkan mereka.
Pada 17 Dis, LLPM membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan konspirasi dalam proses membuat keputusan tender di pelabuhan Labuan.
Pengendali pelabuhan itu juga membuat laporan mengenai kebocoran keputusan tender itu yang belum diumumkan secara rasmi oleh LPA.
LPA dalam kenyataannya menafikan keputusan telah dibuat mengenai pengendali baru pelabuhan kontena Labuan Liberty Wharf.