DAP Sabah bidas pembangkang negeri kerana sokong Umno, PAS

DAP Sabah bidas pembangkang negeri kerana sokong Umno, PAS

Menurut Chan, Umno dan PAS berusaha mendapatkan sokongan orang Melayu dan Islam dengan mengambil 'pendekatan kaum dan agama yang lebih radikal dan ekstrem'.

Setiausaha DAP Sabah dan ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (tengah) mengedar limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina Di Luyang, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU:
DAP Sabah menuduh parti pembangkang negeri itu tunduk kepada “politik sayap kanan” cara Umno dan PAS dengan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kimanis.

Setiausahanya Chan Foong Hin berkata, BN telah meradikalkan dirinya selepas hilang kuasa dalam pilihan raya umum tahun lepas dan membentuk kerjasama politik Muafakat Nasional dengan PAS.

Chan berkata, Umno dan PAS berusaha mendapatkan sokongan orang Melayu dan Islam dengan mengambil “pendekatan kaum dan agama yang lebih radikal dan ekstrem”, bukannya membahaskan polisi lebih baik bagi memenangi semula pengundi.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, ini memburukkan polarisasi dan merupakan langkah retrogresif kepada Malaysia, sebuah negara berbilang kaum.

“Ironisnya, Umno masih mengekalkan kerjasama tradisinya dengan MCA dan MIC.

“Bila tiba PRK Kimanis, mereka berjaya meminta parti pembangkang Sabah seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) supaya memberi jalan kepadanya.

“Malah satu-satunya ahli Parlimen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Kurup, turut gembira berkempen dengan pemimpin Umno, Hishammuddin Hussein.

“Apakah parti pembangkang Sabah ini sedar bahawa mereka menjadi bidak politik Umno?”, kata Chan kepada pemberita selepas mengedarkan limau mandarin dan kalendar bersama pemimpin DAP lain di Foh Sang di sini, semalam.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Nordin Siman turut hadir

Chan menggesa pengundi di Kimanis menilai sendiri bentuk politik yang dimainkan oleh Umno dan PAS.

“PAS secara terbuka menyebut lebih daripada sekali bahawa orang bukan Islam tidak harus dibenarkan memegang jawatan tinggi seperti menteri kewangan.

“Setiap kali ahli Parlimen Umno berdebat di Parlimen, selain menimbulkan rasa bimbang bahawa “orang Melayu kehilangan hak mereka”, ia tidak terlibat dalam perbincangan yang lebih bermakna.

“Malah dalam isu perhiasan sambutan Tahun Baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong, ia diapi-apikan oleh sebuah pertubuhan yang berkongsi pandangan yang ekstrem dengan Umno,” katanya.

Dalam satu surat kepada pengetua sekolah, Rohani Mohd Nor, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa ia menerima aduan daripada ibu bapa mengenai perhiasan sambutan Tahun Baru Cina yang “berlebih-lebihan” di sekolah itu.

Bagaimanapun beberapa menteri Kabinet yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat sekolah berkenaan untuk memberi sokongan.

Chan berkata, pertubuhan yang rapat dengan Umno terus membangkitkan sentimen perkauman dan mewujudkan perasaan tidak selamat dalam kalangan orang Melayu, sekali gus mendorong gesaan supaya tanglung yang dipasang di sekolah berkenaan diturunkan.

Dalam pada itu katanya, MCA sebaliknya secara agresif menyerang kerajaan kerana gagal mengawal ketegangan kaum.

“Kepada pengundi di Kimanis, sila lihat dengan jelas bahawa pihak yang menimbulkan krisis ini bukanlah orang lain tetapi orang sama yang berada dalam MCA dan Umno,” katanya.

Chan berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak tenaga politik di Malaysia Timur yang mahukan nilai kepelbagaian budaya memainkan peranan lebih besar bagi menghadapi “politik benci” Umno dan PAS.

“Hubungan etnik amat baik di bawah kerajaan Sabah pimpinan Warisan. Di sini Ketua Menteri Shafie Apdal adalah seorang pemimpin Islam yang dengan bangganya mengisytiharkan cuti sambutan Krismas sebanyak 2 hari untuk rakyat Sabah.

“Jika dibandingkan dengan pemimpin Umno dan PAS, perbezaannya seperti siang dan malam.”

Pengundi di Parlimen Kimanis dijadualkan keluar mengundi pada 18 Jan ini bagi memilih antara calon Warisan Karim Bujang atau BN Mohamad Alamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.