
Projek itu dimulakan tanpa notis ira-kira 2 tahun lepas, tapi kerja-kerja pembinaan dihentikan beberapa hari lepas.
Cerun bukit yang dipotong dibiarkan terdedah, sekai gus menimbulkan kebimbangan penduduk tentang kemungkinan berulangnya tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus yang mengorbankan 9 orang pada 2018.
Penduduk juga mengadu tentang kemunculan secara tiba-tiba kumpulan pendaki berhampiran tapak projek.
Menurut penduduk, kumpulan pendaki tersebut berkumpul hampir setiap hari untuk berkhemah di kaki bukit berkenaan dengan mendirikan meja boleh lipat, makan serta minum bir selepas pendakian mereka.
Seorang penduduk Wayne Ng, 31, berkata, beliau terkejut dengan sikap tidak peduli pengurus projek tersebut. “Tidak ada sesiapa yang patut dibenarkan berdekatan tapak pembinaan kerana ia mengundang banyak bahaya,” katanya.

Beliau juga bercakap tentang banjir lumpur yang berlaku apabila projek jalan itu dimulakan pada Mei 2018, dengan merujuk kepada hujan lebat yng menyebabkan lumpur mengalir dari bukit ke parkir kenderaan di tingkat bawah di salah satu daripada 2 blok kondominium tersebut.
Lumpurnya sehingga setebal kira-kira 2.3cm, katanya.
Susulan itu kontraktor projek telah membina satu tembok bertujuan melindungi penduduk, tetapi Ng tidak berasa yakin.
“Selain itu, sebelum ini kami dapat menikmati pemandangan bukit dan hutannya tanpa gangguan sebelum jalan itu dibina, tetapi sekarang kami terpaksa merenung sebuah tembok yang hodoh,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Darren Quah, 43, bercakap tentang “masalah besar” dengan debu, yang menurutnya ditiup masuk ke dalam rumah oleh angin.

Katanya, beliau bimbang ia memberi kesan ke atas kesihatan anak-anaknya yang masih kecil.
Quah juga mengadu tentang tahap gangguan bunyi dengan berkata, gangguan itu akan meningkat dengan kemajuan projek.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, tahap gangguan bunyi sekarang pun sudah menyakitkan hati. “Kerja-kerja dijalankan hatta pada hujung minggu dan sehingga larut malam,” katanya.
Jawatankuasa pengurusan Mont Residences membuat beberapa aduan kepada kerajaan negeri, tetapi sehingga kini belum menerima apa-apa respons, menurut seorang ahli jawatankuasa yang enggan dinamakan.
“Bukit itu telah dipotong dan kami tidak boleh menghentikan projek berkenaan. Kami faham itu, tetapi kami juga bimbang tentang keselamatan kami. Bolehkah kerajaan negeri menjamin perkara itu?
“Kami juga faham bahawa projek jalan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh majlis bandaraya ketika meluluskan projek apartmen bersebelahan.
“Kami diberitahu setiap projek rumah mampu milik mesti mempunyai satu jalan akses selebar 15m,” katanya.

Penelitian FMT di cerun bukit yang dipotong mendapati sesetengahnya tidak mempunyi longkang lumpur atau takungan sedimen yang perlu dibina bagi projek cerun bukit.
Perkara ini dimaklumkan kepada pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pulau Pinang Zairil Khir Johari.
Beliau berkata, satu siasatan akan dijalankan di tapak pembinaan itu dalam masa terdekat.
Pada 18 Nov, Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata, jalan berkenaan dibina oleh pemaju bagi membolehkan kenderaan melintas ke Mount Erskine melalui Persiaran Halia 3.
Majlis juga berkata, satu pasukan pakar geoteknik sentiasa memantau keadaan, sementara kerja-kerja memperkuat dan menstabilkan tanah sedang dijalankan.