Pelajar Nigeria ditahan walaupun miliki dokumen sah, kata saksi

Pelajar Nigeria ditahan walaupun miliki dokumen sah, kata saksi

Pegawai imigresen Wilayah Persekutuan berkata, pemeriksaan pada sistem komputer mendapati pasport dan pas pelajar Thomas Orhions Ewansiha adalah sah.

Depot tahanan Imigresen Bukit Jalil, tempat di mana Thomas Orhions Ewansiha meninggal dunia. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi memberitahu inkues kematian pelajar PhD warga Nigeria bahawa mangsa mempunyai dokumen yang sah ketika pegawai imigresen menyerbu pangsapuri dan menahannya pada Julai tahun lalu.

Mohd Hafiz Mohammad Ruszali, pegawai imigresen Wilayah Persekutuan berkata, pemeriksaan pada sistem komputer mendapati pasport dan pas pelajar Thomas Orhions Ewansiha adalah sah.

Hafiz berkata pas pelajar Thomas akan tamat pada 23 Sept 2019 dan pasport Nigeria pada 27 Julai 2023.

Walaupun dokumen itu diperakui, katanya, pegawai yang mengetuai serbuan itu meminta Thomas ditahan untuk memastikan jika dia benar-benar seorang pelajar.

Thomas Orhions Ewansiha.

“Ketika operasi, dia cuba melarikan diri,” katanya.

Ketika ditanya peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga Thomas, hafiz berkata, dia secara peribadi tidak melihat mangsa cuba melarikan diri.

“Pada masa itu, semua warga Nigeria melarikan diri,” katanya.

Hafiz berkata pihaknya mengesahkan Thomas mempunyai dokumentasi yang sah pada pagi 5 Julai 2019, sehari selepas serbuan itu, di mana Rajesh secara menyindir berkata “itu cukup berkesan”.

Dia berkata Universiti Limkokwing juga mengesahkan Thomas adalah pelajar di sana.

Hafiz berkata dia melihat luka di kaki Thomas dan merujuk perkara tersebut kepada pegawai Jabatan Pertahanan Awam, Mohamad Nazri Mohd Sa’ari Koh.

Rajesh: Adakah anda tahu apa-apa ubat diberikan kepada si mati?

Hafiz: Saya hanya tahu ubat telah diberikan untuk luka.

Thomas ditahan bersama 19 yang lain semasa serbuan itu. Inkues sebelum ini mendengar polis diberitahu tentang kematiannya di depot tahanan imigresen di Bukit Jalil pada 9 Julai, 5 hari selepas dia ditahan.

Keluarga Thomas memfailkan permohonan inkues ke atas kematiannya, kerana mereka mengesyaki dia mungkin diserang dan tidak diberikan ubat ketika ditahan.

Perbicaraan di hadapan koroner Mahyon Talib diteruskan pada 13 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.