
“Ia adalah antara cadangan yang kini diteliti oleh Pejabat Peguam Negara bagi memelihara kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit,” katanya dalam satu ucapan ketika merasmikan edisi ke-11 tahun perundangan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pegawainya terlibat secara aktif dalam proses rundingan antara kerajaan persekutuan dengan negeri-negeri dalam usaha menyelaraskan undang-undang berkaitan dan menggubal pindaan ke atas Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Katanya, kerajaan mengambil langkah mula untuk memperkenalkan perundangan pemulihan dalam sistem undang-undang melibatkan pesalah kanak-kanak.
“Program ini bertujuan untuk memindahkan kanak-kanak di bawah usia 18 yang melakukan kesalahan jenayah daripada sistem undang-undang jenayah sedia ada dan memperkenalkan undang-undang pemulihan kanak-kanak,” katanya.
Thomas berkata, di bawah perundangan pemulihan, pesalah akan diberikan amaran keras sebelum dirujukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, jabatan itu akan melaksanakan proses kaunseling, pementoran, pendidikan dan kerja-kerja komuniti bergantung kepada tabii kesalahan.
“Ini selaras dengan Artikel 40 Piagam Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya.
Thomas berkata, langkah menghantar kanak-kanak ke penjara berkemungkinan mengubah kanak-kanak yang baik hati, tetapi salah didikan menjadi penjenayah tegar hendaklah dielakkan.
Program itu dimulakan di Sepang, Selangor dan Seremban serta Port Dickson di Negeri Sembilan bulan lepas.