
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, selepas menyemak keterangan yang dikumpul dan dikemukakan polis, timbalan pendakwa raya sebulat suara mengesyorkan kepadanya tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung kes itu.
“Saya menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Jun tahun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku ialah salah seorang lelaki dalam video seks sejenis itu dan beliau turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya.
Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Sebulan kemudian, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengumumkan analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.
Thomas berkata, jabatannya bekerjasama dengan polis sejak 13 Jun 2019 dengan meneliti kertas siasatan, mengadakan perbincangan untuk menyemak keterangan saksi serta memberi beberapa arahan kepada polis melakukan siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan, berikutan beberapa laporan polis yang dibuat beberapa individu berbeza mengenai video seks itu.
“Ramai saksi ditemubual polis untuk memastikan fakta berhubung video dan terdapat tangkapan serta reman beberapa saksi.”
Katanya, pelbagai faktor menyumbang kepada kelewatan menyiapkan siasatan itu, khasnya masa lama diambil sebelum laporan forensik dimuktamadkan, selain perlu menangani kekangan dan prosedur mendapat kelulusan kewangan tambahan untuk polis melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, video itu turut dihantar kepada syarikat di dalam dan luar negara untuk menentukan ketulenan serta pengecaman wajah.
“CyberSecurity Malaysia membuat kesimpulan walaupun video tersebut tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video rendah.
“Disebabkan dapatan tidak konklusif, polis menghantar video itu untuk dianalisa pakar forensik di Amerika Syarikat.”
Thomas berkata, hasil analisa di AS itu mengesahkan dapatan CyberSecurity Malaysia yang antara lain “kegagalan mengenal pasti individu dalam video tersebut disebabkan resolusi rendah serta kualiti dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas.
Katanya, polis turut menerima laporan analisa video itu yang dibuat seorang individu tanpa diminta.
“Laporan ini mengesahkan dapatan kedua-dua laporan yang dinyatakan di atas bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah.”