Penyerang prolifik THT mahu pertahan Piala Sumbangsih

Penyerang prolifik THT mahu pertahan Piala Sumbangsih

Faizal Saari berharap rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini.

Penyerang prolifik Terengganu Hockey Team, Faizal Saari. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Penyerang prolifik Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari berazam mempertahankan Piala Sumbangsih yang dimenangi pasukan itu buat pertama kali tahun lalu.

Justeru beliau yang juga pemain skuad hoki kebangsaan mengharapkan rakan sepasukannya agar mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini.

Menurut Faizal skuadnya kini berada pada tahap mental dan fizikal terbaik dan sudah 100% bersedia untuk turun menggempur seteru, pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di medan lawan.

“Keazaman untuk mempertahankan trofi sumbangsih amat tinggi memandangkan kami (THT) baru sahaja berpeluang menggenggamnya buat pertama kali tahun lalu.

“Malah kemenangan ini juga akan menjadi pencetus untuk THT meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan-perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang menjadi sasaran kita seterusnya untuk musim ini,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Mengulas mengenai kempen liga musim ini pula, Faizal mengakui THT bakal berdepan tugas sukar untuk merebut trofi berkenaan kerana hampir semua pasukan yang bertanding membuat persiapan serta latihan lebih awal untuk merebut kejuaraan.

Namun begitu beliau optimis dapat menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini dengan bimbingan bekas jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Dhaarma Raj Abdullah yang dilantik mengemudi pasukan THT menggantikan I Vickneswaran.

“Saya akui saingan liga hoki 2020 adalah paling sengit dan memerlukan 100% komitmen dari semua pemain.

“Namun saya yakin dengan keazaman tinggi pemain serta pengalaman luas ketua jurulatih, kami dapat memenuhi sasaran pasukan untuk menggenggam sekurang-kurangnya 1 piala musim ini,” katanya yang juga bertekad meningkatkan mutu permainan untuk terus kekal dalam skuad kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.