Tetap enggan teruskan perlawanan, Selangor FC sedia berdepan tindakan

Tetap enggan teruskan perlawanan, Selangor FC sedia berdepan tindakan

Penaung Selangor FC Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa keputusan Liga Bola Sepak Malaysia menolak permohonan untuk menangguhkan perlawanan.

SULTAN SHARAFUDDIN
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain Selangor FC bukannya untuk memenangi Piala Sumbangsih. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata Selangor FC sedia berdepan sebarang tindakan susulan keputusan menarik diri dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), esok.

Menyokong penuh keputusan kelab itu untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan, Sultan Sharafuddin selaku penaung Selangor FC kecewa dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan pasukannya untuk menangguhkan perlawanan.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

“Bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira,” katanya dalam kenyataan di Facebook Pejabat DYMM Sultan Selangor.

Terdahulu, JDT berharap Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan menarik diri dalam aksi Piala Sumbangsih menentang pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

CEO JDT, Alistair Edwards, berkata kelab itu kecewa dengan keputusan Selangor FC menarik diri walaupun ketua polis negara dan polis Johor memberi jaminan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong pada hari perlawanan.

Semalam, Selangor FC memutuskan ‘tidak akan hadir’ dalam perlawanan menentang JDT selepas MFL menolak permohonan mereka menunda tarikh asal perlawanan atas alasan ‘faktor keselamatan’.

Selangor FC berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan terperinci mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.

Permohonan Selangor FC itu susulan insiden malang menimpa Faisal yang cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Ahad lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

Sultan Sharafuddin turut menyeru semua pihak memahami tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain, tidak sama dengan kes sebelum ini.

“Apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.