Umno gesa Jabatan Kesihatan bertindak segera selepas H1N1 dikesan di Kimanis

Umno gesa Jabatan Kesihatan bertindak segera selepas H1N1 dikesan di Kimanis

Ketua Umno Sabah itu berkata, Jabatan Kesihatan negeri tidak patut hanya menumpukan usaha menangkap perokok di kedai makan.

Bung Moktar Radin berucap dalam sebuah ceramah di Membakut hari ini.
BEAUFORT:
Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin menggesa Jabatan Kesihatan negeri mengambil tindakan segera, selepas seorang sukarelawan Barisan Nasional di Kimanis disahkan dijangkiti virus H1N1.

Katanya, semua kakitangan dalam kempen pilihan raya kecil itu berisiko dijangkiti virus itu dan pegawai kesihatan perlu dikerahkan ke tempat kejadian dengan segera.

Ya, seorang daripada kakitangan kempen kami berada di hospital sekarang selepas disahkan dijangkiti H1N1.

“Ini membimbangkan kami. Saya berharap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akan datang ke Kimanis dengan segera kerana media dan semua yang bekerja di kempen ini berisiko dijangkiti virus itu.

“Jangan hanya fikir mencari dan mendenda orang yang merokok di kedai makan,” katanya di sini hari ini.

Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Nor Bhaiti Mohd Sabar berkata, seorang daripada sukarelawannya, Nurul Hazwani Haslan @ Awin disahkan positif virus H1N1 selepas 2 hari bekerja di Kimanis.

Katanya, Nurul yang juga penolong setiausaha Puteri Umno Wilayah Persekutuan ditempatkan di pusat daerah mengundi Membakut.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu sejak semalam.

“Saya menggesa semua rakan mengambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada terhadap sebarang simptom ketika bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Bung Moktar menyifatkan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking “bodoh” kerana meminta pengundi Kimanis membantu Warisan mendapatkan kembali hak kawalan hasil gas di Sabah.

“Leiking kata apabila Warisan menang PRK ini, ia menjadi lebih mudah untuk mereka menuntut semula hasil gas itu.

“Kenapa perlu tunggu? Bukankah mereka sudah menjadi kerajaan? Bukankah dia seorang menteri?

“Saya rasa menteri ini bodoh. Saya tidak malu bercakap demikian kerana dia memang bodoh.”

Pada 4 Jan lalu, Leiking yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, dilaporkan menggesa pengundi menyokong parti itu di PRK Kimanis untuk membantu Sabah mendapatkan semula hak kawalan hasil gas di Sabah kerana ia “kehilangan peluang” sebelum ini.

Katanya, keputusan kerajaan negeri terdahulu membenarkan gas dari Sabah disalurkan ke negeri lain menyebabkan ia mengalami “banyak kekurangan dari segi ekonomi” bukan saja kepada Kimanis, tetapi juga Sabah secara keseluruhannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.