
Beliau berkata Thomas selaku peguam negara dan pendakwa raya awam berhak melihat kertas itu dan tentukan akan dakwa atau tidak.
“Sama sekali tak adil untuk menilai beliau dan mempersoalkan integritinya tanpa bukti,” kata Abu Talib, yang pernah menjadi peguam negara dari 1980 hingga 1993.
“Beliau seorang peguam negara dan masa lalunya tidak patut diambil kira. Terserah kepadanya kerana jika tidak, beliau akan dilihat melepaskan tanggungjawab sebagai peguam negara dan pendakwa raya awam,” katanya kepada FMT.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa Thomas mengecualikan dirinya daripada terlibat dalam sebarang keputusan mengenai kes melibatkan dakwaan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Anwar.
Perkembangan ini selepas Bukit Aman berkata polis dan peguam negara berbincang mengenai langkah seterusnya.
Haniff berkata akan timbul persoalan mengenai percanggahan kepentingan dan keadilan asasi sekiranya Thomas terlibat dengan kes itu, sambil merujuk kepada satu artikel ditulis Thomas pada 2012 selepas Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes liwat melibatkan Saiful Bukhari Azlan.
Abu Talib berkata Thomas, selaku bekas peguam kanan dan sekarang ini peguam negara, sedar apa yang betul dan salah dari segi keadilan.
“Seperti kata pepatah, keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi mesti nampak ditegakkan.
“Thomas tahu apa yang perlu dilakukan semasa menjawat jawatan awam itu,” katanya.
Abu Talib berkata Thomas juga akan dibantu timbalan-timbalan pendakwa raya awam semasa membuat keputusan.
Laporan polis Yusoff terhadap Anwar pada awal Disember membawa kepada siasatan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.
Anwar menafikan dakwaan-dakwaan itu, dan polis sudah merakam keterangan daripada mereka.
Semalam, Bukit Aman berkata kes itu antara 3 yang dirujuk kepada peguam negara. Kes lain adalah video seks sejenis yang cuba dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, dan akuan berkanun bekas pegawai polis, Azilah Hadri terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkatian pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.